Politik 14/08/2026 01:33 PM

PKR Perlu Bawa Naratif Lebih Ampuh, Perkukuh Keyakinan Rakyat - AMK

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PKR Perlu Bawa Naratif Lebih Ampuh, Perkukuh Keyakinan Rakyat - AMK
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar ketika hadir pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh hari ini. Turut sama Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan Muhammad Kamil Abdul Munim.

MELAKA, 14 Ogos (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu membawa naratif lebih ampuh bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap parti, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Abdul Munim.

Beliau berkata selain itu, kekuatan di peringkat akar umbi perlu diperkasakan untuk diterjemahkan dalam bentuk kemenangan dalam pilihan raya akan datang.

"Popular sahaja tidak cukup. Setelah kita melalui Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, PRN Johor dan PRN Negeri Sembilan, ada satu hal dan saya rasa semua orang bersetuju bahawa kekuatan kita di akar umbi belum cukup kuat untuk kita menterjemahkan dalam bentuk kemenangan.

"Sejak 1998, kita masuk dalam pilihan raya dengan gelombang dan rakyat pada ketika itu menjadi sebahagian daripada jentera kita, sehinggalah hari ini apabila kita membentuk kerajaan," katanya ketika berucap pada Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini, hari ini.

Kongres tiga hari bermula hari ini dirasmikan Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar itu turut dihadiri Naib Presiden PKR Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Wanita PKR Fadhlina Sidek.

Muhammad Kamil berkata sehubungan itu, parti dituntut supaya memperbaharui pendekatan, strategi dan gerak kerja politik supaya perjalanan parti lebih teratur, berstruktur dan bersasar memandangkan reformasi ketika berada di luar kerajaan dan di dalam kerajaan merupakan dua cabaran berbeza.

Oleh yang demikian, beliau menyeru ahli dan kepimpinan parti supaya tidak berputus asa sebaliknya menerima kenyataan pahit bahawa rakyat telah memberi isyarat jelas yang menuntut parti untuk bangun semula demi rakyat.

Sementara itu, Fadhlina berkata kongres yang berlangsung selama tiga hari itu perlu menjadi medan muhasabah untuk mengakui kelemahan, mendengar suara akar umbi dan merangka agenda tindakan bagi memperkukuh parti.

Ucapan pimpinan perlu diberi perhatian dan dilaksanakan supaya menjadi agenda tindakan, memperkukuh organisasi, memperhebat daya juang, menempa kekuatan baharu seterusnya memenangi pilihan raya yang akan datang, katanya ketika berucap pada kongres itu.

“Saudara dan saudari semua, ambil peluang ini untuk betul-betul menghadamkan ucapan semua pimpinan. Gunakan pentas ini untuk muhasabah, mengakui kelemahan dan kekurangan dengan penuh kesedaran dan kerendahan jiwa.

“Perbahasan perwakilan harus menjadi saranan akar umbi untuk terus memperteguh parti," katanya.

-- BERNAMA