TAIPING, 14 Ogos (Bernama) -- Permohonan kemasukan ke Kolej Vokasional (KV) Kementerian Pendidikan (KPM) terus meningkat tahun ini apabila menerima 67,045 permohonan setakat ini, berbanding kapasiti 19,567 tempat.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata jumlah itu menunjukkan minat tinggi generasi muda terhadap pendidikan berasaskan kemahiran, selari dengan peningkatan kebolehpasaran lepasan KV yang hampir 100 peratus.
“Tarikh tutup permohonan adalah pada tengah malam ini dan kita menjangkakan permohonan akan melebihi 68,000 orang. Peningkatan ini membuktikan hasil usaha Kerajaan MADANI dan KPM dalam memperkukuh bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.
Wong berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Toyo Tyre Malaysia Sdn Bhd dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini hari ini.
Beliau berkata kebolehpasaran lepasan KV pada 2023 mencapai 99.95 peratus dan antara 98 hingga 99 peratus direkodkan secara berterusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
KPM, menurut beliau mengadakan kolaborasi erat dengan pihak industri bagi memastikan lepasan KV mempunyai kemahiran bersesuaian dan kemampuan untuk menembusi bidang pekerjaan serta memenuhi keperluan pasaran.
-- BERNAMA