Am 14/08/2026 06:56 PM

Jerebu: 10 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat, Sarawak Paling Terjejas

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Jerebu: 10 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat, Sarawak Paling Terjejas

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Kualiti udara di beberapa negeri merosot hari ini dengan 10 kawasan mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 11 pagi tadi, dengan tujuh daripada lokasi berkenaan direkodkan di Sarawak. 

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata kemerosotan itu berpunca daripada pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah susulan pengesanan titik panas yang ketara di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.

Beliau berkata Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 182, disusuli Kuching (171), Samarahan (170), Sri Aman (162), Sarikei (158), manakala Bintulu dan Mukah masing-masing mencatatkan bacaan 151.

"Turut terjejas ialah Cheras di Kuala Lumpur dengan bacaan 153, manakala di Selangor, Johan Setia mencatatkan 151 dan Shah Alam (107). Selain itu, 55 kawasan mencatatkan status IPU sederhana, manakala hanya tiga kawasan berada pada tahap baik," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Azuri Azizah berkata berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC), imej satelit mengesan 150 titik panas di Kalimantan dan 11 di Sumatera, Indonesia manakala 25 titik panas dikesan di dalam negara, iaitu 22 di Sarawak dan tiga di Sabah.

"Titik panas bertaburan dikesan di Kalimantan, manakala beberapa titik panas turut dikesan secara terpencil di kawasan lain di selatan rantau ASEAN.

"Kepulan asap setempat sederhana diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas di banyak kawasan di Kalimantan, manakala kepulan asap setempat ringan berpunca daripada titik panas di bahagian tengah Sumatera," katanya. 

Sehubungan dengan itu, katanya, JAS telah mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) bagi menyelaraskan tindakan segera agensi kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Di bawah PTJK, beberapa langkah proaktif akan dilaksanakan mengikut tahap IPU, termasuk pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di peringkat daerah, negeri atau pusat sekiranya bacaan melebihi 150 selama lebih 24 jam.

"Semua aktiviti di luar bilik darjah pula perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200," katanya.

Beliau berkata Operasi Pembenihan Awan (OPA) turut akan dilaksanakan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

Dalam pada itu, JAS memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah milik mereka diceroboh sehingga menyebabkan kebakaran.

Berdasarkan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, denda bagi kesalahan berkenaan dinaikkan kepada minimum RM25,000 dan maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, manakala kompaun sehingga tidak melebihi 50 peratus daripada denda maksimum boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

Orang ramai boleh mendapatkan bacaan IPU terkini setiap jam menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS serta mendapatkan nasihat kesihatan berkaitan jerebu daripada Kementerian Kesihatan.

-- BERNAMA