Am 14/08/2026 12:49 PM

SK Murni Jaya Terima RM100,000 Sebagai Sekolah Angkat MADANI Kementerian Komunikasi

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
SK Murni Jaya Terima RM100,000 Sebagai Sekolah Angkat MADANI Kementerian Komunikasi
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching (dua, kiri) diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah (kiri) menyerahkan cek cura bernilai RM100,000 kepada Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Murni Jaya Siti Hazlin Yusof (dua, kanan) pada Majlis Penyerahan Penyaluran Peruntukan Sekolah Angkat MADANI 2026 Kementerian Komunikasi di sekolah itu hari ini.

KULAI, 14 Ogos (Bernama) -- Sekolah Kebangsaan (SK) Murni Jaya di sini yang terpilih sebagai Sekolah Angkat MADANI Kementerian Komunikasi pada tahun ini menerima peruntukan RM100,000 untuk meningkatkan kemudahan dan infrastruktur sekolah.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata pemilihan sekolah itu sebahagian daripada pelaksanaan inisiatif tersebut yang bertujuan memperkukuh ekosistem pendidikan menerusi pendekatan kolaboratif yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata peruntukan itu akan dimanfaatkan untuk menyediakan pelbagai kemudahan termasuk empat papan tanda sekolah, papan pintar untuk kegunaan dewan dan pusat sumber serta penambahbaikan lampu, keceriaan dewan dan sistem siar raya.

“Turut disediakan ialah dua penyaman udara, 10 iPad bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di makmal komputer serta satu set Robot Sumo bagi menyokong aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Teo berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Penyaluran Peruntukan Sekolah Angkat MADANI 2026 Kementerian Komunikasi di SK Murni Jaya hari ini.

Selain RM100,000, Teo berkata peruntukan tambahan RM20,000 disalurkan bagi penyediaan 19 unit meja dan kerusi di kantin sekolah tersebut.

Beliau berkata kerja penyediaan kemudahan di sekolah itu dijangka siap pada Oktober ini. 

“Untuk sekolah lain, ia akan mengikut keperluan sekolah masing-masing tetapi perlu disiapkan pada tahun ini seperti garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.

-- BERNAMA