PUTRAJAYA, 13 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 68 individu berjaya menerima Geran Transformasi Pertanian (GTP) bernilai hingga RM30,000 menerusi Program Malaysian Indian Transformative Agri Program (MITAP) sebagai usaha memperkukuh penglibatan masyarakat India dalam sektor pertanian.
MITAP adalah satu daripada inisiatif di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India yang dilaksanakan dengan kerjasama MARDI Corporation Sdn Bhd (MARDICorp).
Ketua Pengarah MITRA K.Raveendran Nair berkata MITAP terbahagi kepada dua komponen utama iaitu QuickWin MITRA dan Program Usahawan Tani Muda (PUM) yang memberi penekanan kepada pembangunan kapasiti dan kemahiran generasi muda dalam bidang keusahawanan pertanian.
“Di bawah QuickWin MITRA, kita memberi bantuan geran bernilai maksimum RM30,000 kepada pengusaha muda (68 individu). PUM pula membabitkan latihan selama 10 bulan kepada lapan peserta berjaya.
“Mereka akan diberi sokongan melalui hubungan berterusan dengan MARDI Corp termasuk peluang menyertai program dan inisiatif keusahawanan pertanian yang dilaksanakan kerajaan,” katanya kepada Bernama selepas majlis penyerahan geran MITAP itu di sini hari ini.
Enam bidang yang diberi tumpuan di bawah GTP ialah pengeluaran tanaman makanan, pengurusan ternakan tenusu (lembu), penternakan lebah madu, teknologi penanaman cendawan tiram, penternakan ikan air tawar dan teknologi pemprosesan makanan.
Pengarah Urusan MARDICorp Mohamad Zamir Ghazali berkata pihaknya akan terus memainkan peranan membimbing peserta MITAP menerusi kerjasama strategik meliputi pemasaran hasil, pembangunan produk hiliran dan pemindahan teknologi baharu.
Beliau berkata peserta turut diberi pendedahan mengenai kepentingan menyertai pertubuhan atau persatuan bagi membantu mereka berkembang dan sentiasa berada dalam radar kerajaan.
“Ada sebahagian mereka yang sudah menjadi ahli pertubuhan. MITAP bukan sekadar memperoleh pengetahuan baharu tetapi turut menjadi ruang untuk membina jaringan,” katanya sambil berharap semua peserta memanfaatkan setiap bimbingan diberikan.
-- BERNAMA