Am 13/08/2026 12:46 PM

Dadah Pelbagai Jenis Ditemukan Di Dalam Lokap, Tiga Individu Termasuk Anggota Polis Direman

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dadah Pelbagai Jenis Ditemukan Di Dalam Lokap, Tiga Individu Termasuk Anggota Polis Direman
Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin menunjukkan gambar suspek dan dadah yang dirampas pada Sidang Media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hari ini.

IPOH, 13 Ogos (Bernama) -- Polis menahan tiga individu termasuk seorang anggota polis berpangkat konstabel dan merampas sejumlah dadah pelbagai jenis ketika melakukan pemeriksaan di Balai Polis Lumut pada Selasa lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung menemukan dadah jenis methamphetamine, heroin dan kanabis bersama dua orang kena tuduh (OKT) berusia lingkungan 40-an yang berada di dalam lokap balai polis tersebut pada kira-kira 8.30 pagi.

“Polis menemukan 16 punjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 109.54 gram serta 16 punjut plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dianggarkan 110.37 gram.

"Polis turut menemukan 23 punjut plastik mengandungi bahan daun-daun kering disyaki dadah jenis kanabis dengan anggaran berat 142.31 gram," katanya pada sidang media selepas majlis pelupusan barang kes dadah dan ketum di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Beliau berkata berkata nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan RM18,534.

Mohd Alwi berkata susulan penemuan tersebut, polis turut menahan seorang anggota polis berpangkat konstabel berusia lingkungan 30-an yang bertugas di balai polis tersebut bagi membantu siasatan.

Beliau berkata saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga individu mendapati dua orang positif dadah jenis methamphetamine manakala anggota polis terbabit negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau.

"Kesemuanya direman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya.

-- BERNAMA