KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Hubungan Singapura dan Malaysia yang semakin saling berkait rapat memperkukuh kepentingan kerjasama lebih erat antara kedua-dua negara dalam mendepani dunia yang berubah dengan pantas dan semakin tidak menentu, kata Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon.
"Hubungan bilateral kita begitu erat dan saling berkait sehingga menjadi kepentingan bersama untuk bekerjasama dalam pelbagai isu, lebih-lebih lagi dalam dunia hari ini yang berubah dengan pantas dan semakin tidak menentu," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebangsaan Singapura Ke-61 pada Rabu malam.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menon berkata tema sambutan itu, "Closer Together", tepat mencerminkan hubungan bersejarah antara kedua-dua negara serta persahabatan dan kerjasama yang semakin berkembang.
"Sebab itulah 'Closer Together' menjadi tema yang sesuai bagi sambutan tahun ini. Ia bukan sahaja melambangkan hubungan bersejarah antara kedua-dua negara, malah persahabatan dan kerjasama yang semakin kukuh dan mendalam sejak sekian lama," katanya.
"Seperti peribahasa Cina 风雨同舟 (fēng yǔ tóng zhōu), kita berada dalam perahu yang sama dan perlu mengharungi ribut serta gelora bersama-sama," katanya.
Menon berkata komitmen untuk terus memperkukuh ikatan antara kedua-dua negara dikongsi pada peringkat tertinggi, seperti yang dicerminkan menerusi beberapa siri lawatan dan pertukaran peringkat tinggi tahun ini.
Presiden Tharman Shanmugaratnam melakukan Lawatan Negara pertamanya ke Malaysia pada Julai lepas atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pada Februari, Perdana Menteri Lawrence Wong melawat Malaysia atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Kanan Lee Hsien Loong pula berada di Malaysia pada Mei, manakala menteri kedua-dua negara terus mengadakan pertukaran dan dialog secara aktif sepanjang tahun.
Mengenai hubungan antara rakyat, Menon berkata kedua-dua negara terus berinteraksi dalam pelbagai bidang termasuk seni dan budaya.
Pada April, Singapore Ballet mempersembahkan "Ballet Illuminations 2026", yang menampilkan tiga karya balet klasik dan kontemporari, di Kuala Lumpur Performing Arts Centre.
Pada Jun, Ding Yi Music Company dari Singapura berkongsi pentas dengan Malaysia Century Chinese Orchestra pada "Festival Orkestra Kuala Lumpur" anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dari segi perniagaan, Menon berkata: "Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) telah mewujudkan pekerjaan dan peluang kepada rakyat kedua-dua negara serta akan memainkan peranan penting dalam memangkin pertumbuhan di rantau ini."
"Pergerakan rakyat antara kedua-dua negara akan terus meningkat dengan siapnya Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura," katanya.
Menon turut mengetengahkan bantuan bersama yang dihulurkan oleh kedua-dua negara semasa memerlukan.
"Kita juga sentiasa saling membantu ketika memerlukan," katanya.
Ketika banjir melanda Hat Yai di selatan Thailand tahun lepas, Malaysia membantu rakyat Singapura dalam usaha mereka untuk pulang ke republik itu.
Begitu juga ketika Singapura baru-baru ini mengatur penerbangan membawa pulang rakyatnya dari Asia Barat, negara itu turut membantu membawa rakyat Malaysia ke tempat selamat.
"Secara keseluruhan, hubungan Singapura-Malaysia mencerminkan peribahasa 'bagai isi dengan kuku' -- dua negara dan rakyat yang terikat oleh sejarah bersama, persaudaraan serta kerjasama yang semakin berkembang," katanya.
Menon berkata makanan juga merupakan satu lagi penghubung penting antara kedua-dua masyarakat, dengan nasi lemak, sate, laksa dan durian antara hidangan yang dinikmati rakyat Singapura dan Malaysia.
"Salah satu elemen utama yang mengikat rakyat dan budaya kita ialah makanan," katanya.
Mengakhiri ucapannya, Menon menyeru rakyat Singapura dan Malaysia supaya terus bekerjasama ke arah masa depan bersama.
"Marilah kita, rakyat Singapura dan Malaysia, terus merapatkan hubungan dalam mengejar impian bersama untuk masa depan yang lebih baik."
Lebih 1,200 tetamu termasuk wakil kerajaan, komuniti perniagaan, anggota kor diplomatik, rakyat Singapura yang menetap di Malaysia menghadiri sambutan itu.
Singapura menyambut Hari Kebangsaan Ke-61 pada Ahad, 9 Ogos 2026.
-- BERNAMA