JOHOR BAHRU, 13 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan feri antarabangsa Roll-on-Roll-off (RORO) Batam-Johor yang dicadang dilaksanakan bagi menghubungkan Pelabuhan Bintang 99 Persada di Batam, Indonesia dengan Tanjung Belungkor di Kota Tinggi, dijangka mula beroperasi menjelang pertengahan tahun hadapan.
Pengarah Operasi dan Transformasi PT ASDP Indonesia Ferry (Persero) Rio Theodore Natalianto Lasse berkata persiapan giat dijalankan dengan Pelabuhan di Batam bersedia untuk beroperasi manakala penambahbaikan kemudahan masih diperlukan di Tanjung Belungkor sebelum feri RORO boleh berlabuh di situ.
Beliau berkata pihaknya menjangkakan feri RORO yang akan digunakan bagi laluan berkenaan siap tahun ini selain rundingan dengan pengendali pelabuhan serta pihak pelabur sedang berjalan.
“Diharapkan perkhidmatan ini (feri RORO) dapat dimulakan pada pertengahan tahun depan namun semuanya bergantung kepada peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada Bernama selepas menghadiri Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) mengenai Laluan Antarabangsa RORO Batam-Johor di sini semalam.
Turut hadir Konsul Jeneral Indonesia di Johor Bahru Sigit S. Widiyanto.
Rio berkata perbincangan telah diadakan dengan Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri Johor, sekali gus menerima maklum balas positif berhubung cadangan penyediaan perkhidmatan pegangkutan terbabit.
“Semangat untuk merealisasikan (perkhidmatan feri RORO) memang ada namun menterjemahkannya kepada pelan tindakan bukanlah sesuatu yang mudah. ASDP sedang berusaha ke arah itu dan menggalakkan pihak Malaysia mempercepat proses berkenaan,” katanya.
Beliau berkata Tanjung Belungkor dipilih kerana kedudukannya berhampiran Batam selain memiliki infrastruktur sedia ada yang dianggarkan 80 hingga 90 peratus telah lengkap.
Rio berkata kemudahan yang dibina pada 2002 itu masih belum dimanfaatkan sepenuhnya, sekali gus memberi peluang kepada infrastruktur sedia ada digunakan bagi perkhidmatan yang dicadangkan itu.
Perjalanan antara Batam dan Tanjung Belungkor yang dianggar mengambil masa kira-kira dua jam bagi jarak 27 batu nautika, disifatkan Rio sebagai laluan paling singkat bagi perkhidmatan feri RORO dicadangkan itu.
Mengenai kapasiti, beliau berkata ASDP memiliki beberapa feri RORO yang boleh digunakan bergantung kepada permintaan pasaran dengan feri RORO bersaiz lebih besar mampu memuatkan hingga 200 trak perdagangan bagi setiap perjalanan.
“Petunjuk awal daripada pihak Batam memperlihatkan permintaan kurang daripada 50 trak, sekali gus membolehkan ASDP menyesuaikan saiz feri RORO yang akan digunakan mengikut keperluan.
“Perkara yang penting ialah adanya kargo untuk perjalanan balik. Kita perlu memastikan agar feri RORO ini tidak pulang tanpa muatan,” katanya sambil menambah pelbagai jenis kargo boleh diangkut melalui laluan berkenaan, dengan trak dijangka menjadi sebahagian besar daripada kenderaan yang diangkut.
Rio berkata selain berpotensi merancakkan pergerakan penumpang dan aktiviti pelancongan, perkhidmatan feri RORO juga berpotensi membuka lebih banyak peluang perdagangan bagi penghantaran produk dari Batam ke Johor dan sebaliknya.
Sementara itu, Sigit berkata perkhidmatan feri RORO yang dicadangkan itu bukan sekadar jaringan pengangkutan, malah berpotensi mewujudkan hubungan secara langsung antara dua pusat ekonomi yang sedang berkembang di Johor dan Batam.
“Walaupun dari segi geografinya Johor dan Batam terletak berdekatan, masih terdapat potensi besar untuk memperkukuh hubungan ekonomi antara kedua-duanya,” katanya sambil menambah perkhidmatan feri RORO itu kelak mampu memperkukuh rangkaian logistik rentas sempadan, hubungan perniagaan serta akses pasaran.
Perbincangan FGD itu dianjurkan oleh PT ASDP Indonesia Ferry dengan kerjasama Konsulat Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru bagi mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan dalam sektor perniagaan berhubung potensi pasaran, keperluan logistik, aspek operasi serta peluang komersial bagi laluan yang dicadangkan itu.
-- BERNAMA