Oleh Norhidayyu Zainal
KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Anak Alam, sebuah gerakan seni bebas berpengaruh tanah air meraikan perjalanan lima dekad penubuhannya menerusi pameran “Anak Alam 50 Tahun (1974-2024)” yang sedang berlangsung hingga 31 Ogos ini di HARTA Space, Ampang Point, Ampang, Selangor.
Kurator pameran Faizal Sidik berkata acara itu menghimpunkan lebih 60 karya seni visual dan bahan arkib daripada 12 seniman Anak Alam meliputi pelbagai bidang seni, antaranya lukisan, puisi, arca dan pementasan teater yang menelusuri perkembangannya dari era 1960-an hingga 2020-an.
“Tujuan pameran ini adalah untuk melihat sumbangan setiap Anak Alam kerana setiap daripada mereka mempunyai identiti masing-masing yang tersendiri. Kita mahu lihat apakah yang telah mereka sumbangkan sepanjang lebih 50 tahun itu dan apa yang dapat dipelajai oleh generasi muda hari ini,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian pameran yang dilakukan oleh Tokoh Wartawan Negara Tan Sri Johan Jaaffar, di sini baru-baru ini.
Seniman yang diketengahkan ialah Latiff Mohidin, Mustapha Hj Ibrahim, Ali Mabuha Rahamad, Zulkifli Dahlan, Maryam Hj Abdullah, Siti Zainon Ismail, Ismail Abdullah, Abdul Ghafar Ibrahim atau AGI, Yusof Gajah, Mad Anuar Ismail, Abdul Mansoor Ibrahim dan Mazlan Noor Along.
Faizal yang juga seorang pelukis dan berkecimpung dalam bidang seni hampir 30 tahun berkata kuratorial pameran itu dibahagikan kepada dua bahagian utama iaitu ruang galeri dan ruang arkib (dokumentasi).
Menurut beliau, ruang galeri disusun mengikut empat segmen masa, iaitu 1960-an hingga 1970-an, 1980-an hingga 1990-an, 2000-an serta 2010-an hingga 2020-an bagi memperlihatkan perkembangan karya seniman Anak Alam mengikut dekad.
“Ruang arkib pula menghimpunkan pelbagai bahan dan artifak berkaitan Anak Alam termasuk surat-menyurat, katalog pameran, poster, kad jemputan, fotografi, keratan akhbar, artikel serta bahan cetakan lain yang merekodkan perjalanan gerakan itu,” katanya.
Beliau berkata mereka mengambil masa kira-kira dua tahun bagi mengesan, mengumpul dan mendapatkan karya daripada seniman yang berada di beberapa lokasi berbeza, dalam usaha merealisasikan pameran itu.
“Usaha menghimpunkan karya ini bukan mudah kerana sebahagian seniman telah meninggal dunia, manakala yang lain menetap di lokasi berbeza. Cabaran utama ialah masa dan jarak, selain saya sendiri menguruskan penghantaran, pengambilan karya serta menghubungi mereka,” katanya berharap pameran itu menjadi permulaan kepada penganjuran yang lebih besar pada masa depan.
Sementara itu, Johan yang pernah menjadi sebahagian daripada komuniti Anak Alam pada 1970-an, menyifatkan pameran tersebut sebagai detik bersejarah kerana memberi ruang untuk sumbangan gerakan berkenaan dinilai semula selepas lima dekad.
“Kalau sastera ada ASAS 50, seni, lukisan dan kegiatan seni ada Anak Alam. Anak Alam bagi saya adalah satu institusi yang luar biasa, satu gerakan seni yang tidak ada tandingnya dalam sejarah,” katanya ketika berucap merasmikan pameran itu.
Johan berkata Anak Alam yang pada awalnya banyak digerakkan oleh pelukis dan penyajak, berkembang apabila generasi seterusnya membawa elemen baharu dalam bentuk teater dan persembahan di ruang terbuka.
Menurut beliau, pengalaman bersama-sama dengan Anak Alam turut membentuk perjalanan hidupnya kerana gerakan itu bukan sekadar mengajarnya mengenai seni, tetapi juga kreativiti dan nilai kemanusiaan.
Pelukis veteran Mazlan Noor Along, 70, yang menyertai pameran itu menerusi empat karya abstraknya iaitu Genta Rintik (2017), Gema Jalur 22 (2019), Gema Jalur 23 (2020) dan Genta Kosmik (2023) pula berkata keunikan Anak Alam terletak pada sifatnya sebagai sebuah kelompok bebas tanpa struktur organisasi formal.
“Anak Alam ini unik. Ia tidak didaftarkan, tidak ada mesyuarat agung, tidak ada presiden dan tidak ada timbalan presiden. Ia diwujudkan sebagai satu koloni bebas daripada birokrasi, tetapi tetap akur kepada pentadbiran negara. Itu yang membuatkan Anak Alam hidup sampai sekarang,” katanya.
-- BERNAMA