Am 13/08/2026 11:24 AM

Kilang Baja, Penyimpanan Minyak Musnah Dalam Kebakaran Di Shah Alam

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kilang Baja, Penyimpanan Minyak Musnah Dalam Kebakaran Di Shah Alam
Kredit: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Selangor

SHAH ALAM, 13 Ogos (Bernama) -- Sebuah kilang memproses baja dan penyimpanan minyak enjin kereta musnah 90 peratus dalam kejadian kebakaran di Jalan Bukit Cherakah, Seksyen U9, berhampiran Monterez Golf Club, di sini malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ashrul Riezal Asbar berkata premis berkeluasan 40x100 kaki persegi itu bagaimanapun tidak melibatkan kehilangan jiwa atau kecederaan, dengan punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada 10.49 malam sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong tiba di lokasi 10 minit kemudian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kebakaran membabitkan struktur bangunan kelas B yang digunakan sebagai tempat pemprosesan baja serta penyimpanan minyak enjin kenderaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 25 pegawai dan anggota bersama jentera dari BBP Bukit Jelutong, BBP Sungai Buloh, BBP Shah Alam dan BBP Klang Utara digerakkan bagi mengawal api daripada merebak.

Katanya, operasi pemadaman turut mendapat bantuan 22 anggota daripada empat Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Saujana Utama, Rantau Panjang, Klang (Briged Amal) Kampung Delek dan Serdang.

“Api berjaya dikawal pada 11.23 malam sebelum dipadamkan sepenuhnya pada 1.25 pagi sebelum pasukan penyelamat menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi sisa bara api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya.

-- BERNAMA