KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan secara peribadi mengharapkan skuad sepak takraw negara mampu menyumbang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 19 Sept hingga 4 Okt ini.
Beliau berkata kejayaan meraih dua pingat emas pula boleh dianggap sebagai bonus besar buat pasukan sepak takraw negara, khususnya dalam usaha Malaysia mencipta pencapaian membanggakan pada temasya sukan terbesar Asia itu.
Namun, beliau berkata sasaran rasmi bagi skuad sepak takraw masih belum dimuktamadkan dan dijangka diputuskan dalam tempoh terdekat.
“Nantilah, sasaran saya sekurang-kurangnya satu emas di Sukan Asia untuk sepak takraw, secara peribadi. Tapi kalau dapat dua adalah bonus untuk sepak takraw dan bonus kepada negara,” katanya yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sesi Lawatan CDM dan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) ke Venue Latihan Sukan Gimnastik Artistik dan Gimrama serta Karate Bagi Persiapan Ke Sukan Asia 2026 di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.
Mohd Sumali berkata Malaysia hanya dibenarkan menyertai maksimum dua acara masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita di Jepun.
Beliau berkata skuad lelaki akan berentap dalam acara regu dan regu berpasukan sementara skuad wanita pula akan menggalas cabaran dalam acara double dan kuadran.
Skuad sepak takraw negara meraih perak masing-masing dalam acara regu dan regu berpasukan lelaki pada edisi 2022 di Hangzhou, China.
Sementara itu, Mohd Sumali berharap kontinjen negara mampu melakar pencapaian keseluruhan luar biasa di Jepun dengan membawa pulang sebanyak mungkin pingat emas.
Menyedari misi itu bukan mudah apabila perlu berdepan persaingan sengit di peringkat Asia, beliau tetap percaya ia bukan sesuatu mustahil berdasarkan kemampuan beberapa atlet negara yang sebelum ini berjaya mara ke pentas final dalam kejohanan antarabangsa.
Justeru, beliau mahu semua atlet menggunakan baki kira-kira sebulan sebelum temasya untuk mengekalkan prestasi, menjaga kesihatan dan disiplin, selain mengelak kecederaan pada saat akhir yang boleh menjejaskan sasaran kontinjen negara.
Dalam pada itu, beliau berkata sasaran pingat dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.
Kontinjen negara meraih enam pingat emas, lapan perak dan 18 gangsa di Hangzhou.
-- BERNAMA