PADANG BESAR, 12 Ogos (Bernama) -- Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar merekodkan kutipan kompaun sebanyak RM140,910 daripada 1,632 saman dari Januari hingga Julai lepas.
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata saman itu sebahagian daripada jumlah keseluruhan 4,350 saman bagi tempoh itu, menjadikan 2,718 saman masih tertunggak.
“Saman melibatkan kesalahan nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, tiada nombor pendaftaran, mengabaikan isyarat lalu lintas dan memotong secara berbahaya atau memotong barisan, tidak memakai tali pinggang dan topi keledar serta menggunakan telefon bimbit,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pelupusan barang kes BSPT IPD Padang Besar hari ini.
Mohd Shokri berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,480 saman dikeluarkan kepada warga asing dengan 371 saman diselesaikan melibatkan kompaun sebanyak RM46,250.
Beliau berkata penguatkuasaan trafik akan terus dipertingkatkan bagi memastikan tahap pematuhan pengguna terhadap undang-undang dan tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan lalu lintas.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya melupuskan 35 barang kes bernilai RM33,350 terdiri daripada 21 ekzos motosikal, 12 tangki minyak kereta dan dua tangki minyak pikap.
-- BERNAMA