Am 12/08/2026 06:04 PM

Warga Myanmar Sanggup Bayar RM6,000 Demi Masuk Malaysia Secara Haram

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Warga Myanmar Sanggup Bayar RM6,000 Demi Masuk Malaysia Secara Haram
Gambar fail

KAJANG, 12 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita warga Myanmar mendakwa sanggup membayar kira-kira RM6,000 kepada seorang tekong di Thailand untuk membolehkannya dan keluarga memasuki Malaysia secara hara m melalui laluan laut.

Wanita berusia 37 tahun itu berkata bayaran tersebut dibuat bagi tujuan mengurus perjalanannya bersama-sama suami dan dua anaknya dari Myanmar sebelum dibawa masuk melalui perairan Langkawi menggunakan bot haram.

“Kami sekeluarga bayar lebih kurang RM6,000 untuk datang ke Malaysia. Suami saya yang urus semua, bayar kepada orang Thailand dan bawa dari Myanmar sampai ke perairan Langkawi,” katanya ketika ditahan dalam Op Sasar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Apartment Suteramas, di sini, malam tadi.

Warga Myanmar itu berkata perjalanan mereka dilakukan secara berasingan apabila suaminya bersama-sama anak lelaki berusia 14 tahun terlebih dahulu memasuki negara ini, kemudian diikuti dia bersama anak perempuan berusia tujuh tahun

Mereka sekeluarga sudah berada di Malaysia kira-kira setahun setengah dan kini sedang berusaha mendapatkan status daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), katanya.

Wanita itu memberitahu dia dan suaminya kini bekerja di sebuah kilang perabot di sekitar Kajang dengan menyewa sebuah bilik dengan bayaran RM500 sebulan.

Seorang lagi wanita warga Myanmar berusia 24 tahun mengaku membayar RM3,000 kepada seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai tekong darat untuk membantunya memasuki negara ini melalui laluan tidak sah.

Dia mengenali lelaki tersebut melalui seorang rakan sebelum menggunakan khidmatnya untuk masuk melalui 'laluan tikus' di Sungai Golok, Kelantan kira-kira lima bulan lepas.

“Saya masuk melalui ‘laluan tikus’ di Sungai Golok, Kelantan sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki kereta. Saya sudah kira-kira lima bulan berada di Malaysia dan bekerja di kilang sekitar sini,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di lokasi operasi mendapati terdapat warga asing yang cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, termasuk bertindak bersembunyi di dalam unit kediaman serta nekad terjun dari tingkat dua bangunan untuk meloloskan diri.

Dalam operasi bermula 10.30 malam itu, sebanyak 330 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 248 warga asing ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA