Dunia 12/08/2026 06:04 PM

Feri Terbakar Di Selat Lombok, Operasi Menyelamat Diteruskan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Feri Terbakar Di Selat Lombok, Operasi Menyelamat Diteruskan
Seorang lelaki mengangkat seorang kanak-kanak lelaki yang diselamatkan dari KM Putri Yasmin, sebuah feri yang membawa kira-kira 130 penumpang dari pulau peranginan Bali, Indonesia, yang terbakar di perairan luar Lombok, di pelabuhan Lembar, Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat, Indonesia, pada 12 Ogos 2026. REUTERS/Stringer

JAKARTA, 12 Ogos (Bernama) -- Operasi mencari dan menyelamat besar-besaran dijalankan selepas sebuah feri yang membawa lebih 100 penumpang dan kru terbakar di Selat Lombok, Indonesia awal Rabu.

Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Mataram, Muhamad Hariyadi berkata kebakaran di atas KMP Putri Yasmin dilaporkan pada 4.15 pagi waktu tempatan ketika feri itu dalam perjalanan dari Pelabuhan Padang Bai di Bali ke Pelabuhan Lembar di Nusa Tenggara Barat.

“Kami menerima laporan kecemasan dan segera mengerahkan anggota untuk menjalankan operasi pemindahan,” katanya menurut agensi berita Antara pada Rabu.

Hariyadi berkata Pejabat SAR Mataram mengerahkan kapal penyelamat KN 220 Mataram, sebuah bot RIB dan bot RBB, manakala Pejabat SAR Denpasar menghantar KN SAR Arjuna serta sebuah helikopter milik SGi Air Bali bagi membantu operasi pemindahan dan melakukan pemantauan udara.

Beliau berkata pasukan SAR bersama masih berada di lokasi kejadian dan operasi pemindahan diteruskan.

Menurut beberapa laporan media Indonesia, seramai 131 penumpang dan kru berada di atas feri itu ketika kebakaran berlaku.

-- BERNAMA