LARUT, 12 Ogos (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan syarikat swasta bagi memperluas peluang kerjaya kedua kepada veteran ATM selepas menamatkan perkhidmatan.
Ketua Pengarah JHEV ATM Mej Jen Datuk Semaon Marjuki berkata kerjasama itu penting bagi memastikan veteran mempunyai lebih banyak pilihan pekerjaan yang bersesuaian dengan pengalaman, kemahiran dan kepakaran mereka.
“Kami akan terus mendekati pemain industri untuk mengenal pasti peluang pekerjaan yang boleh disesuaikan dengan latar belakang serta kemahiran veteran, selain menyediakan sokongan dalam aspek latihan dan peningkatan kemahiran.
“Buat masa ini, antara pendekatan yang dilaksanakan adalah melalui program Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) yang menawarkan kursus dalam pelbagai bidang untuk mempersiapkan mereka dengan kemahiran baharu bagi meneruskan kelangsungan hidup selepas bersara,” katanya selepas merasmikan pembukaan Pusat Dialisis Yayasan Veteran ATM Cawangan Batu Kurau di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Penaung Kempen Tabung Pahlawan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail baru-baru ini yang menyeru syarikat swasta supaya memperluas peluang kerjaya kedua kepada veteran ATM selepas mereka menamatkan perkhidmatan.
Semaon berkata selain sektor swasta, peluang kerjaya kedua veteran turut diperluas menerusi kerjasama dengan agensi serta jabatan kerajaan yang memerlukan tenaga kerja berpengalaman.
Beliau berkata antara peluang yang telah dibuka termasuk penempatan veteran sebagai warden di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), dengan jumlah institusi terlibat kini meningkat daripada dua kepada 10 MRSM.
“Bukan itu sahaja, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) juga membuka peluang kepada veteran kita, dengan sasaran awal 220 orang pada tahun ini,” katanya.
Selain itu, beliau berkata JHEV akan terus memperkukuh pelbagai inisiatif berkaitan persediaan kerjaya kedua supaya veteran lebih bersedia menghadapi kehidupan selepas bersara serta mampu berdikari dan mengekalkan kestabilan sosioekonomi keluarga.
-- BERNAMA