Dunia 12/08/2026 03:48 PM

Bakal Duta Besar Malaysia Muzafar Shah Tiba Di Jakarta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bakal Duta Besar Malaysia Muzafar Shah Tiba Di Jakarta

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 12 Ogos (Bernama) -- Bakal Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Muzafar Shah Mustafa tiba di Jakarta selepas menamatkan tugas sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India.

Kedutaan Besar Malaysia menerusi hantaran di media sosial memaklumkan Muzafar Shah memulakan hari pertamanya dengan mengimbas kad bagi merakamkan waktu mulai kerja di kedutaan sebaik tiba pada 10 Ogos.

Muzafar Shah dilantik sebagai Duta Besar Malaysia yang baharu ke Indonesia bulan lepas dan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara pada 14 Julai lepas.

Beliau memulakan tugas di Jakarta selepas menamatkan tempoh perkhidmatan hampir tiga tahun sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India dan meninggalkan New Delhi pada 9 Julai.

Muzafar Shah yang menyertai Kementerian Luar pada 1995 mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan diplomatik menerusi beberapa penempatan di Asia, Eropah dan Amerika Latin.

Sebelum ditempatkan di India pada Oktober 2023, beliau berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Mexico dari 2018 hingga 2023, selain turut mewakili Malaysia di Belize, Costa Rica, El Salvador, Guatemala dan Honduras.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Duta Besar Malaysia ke Venezuela dari 2016 hingga 2018, manakala penempatan terdahulunya di luar negara termasuk sebagai kaunselor di Kedutaan Besar Malaysia di Berlin dari 2007 hingga 2011 dan setiausaha kedua di Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad dari 1999 hingga 2003.

Muzafar Shah yang berkahwin dengan Datin Najwa Zainal mempunyai empat orang anak.

-- BERNAMA