Oleh Kenny Teng Khoon Hock
BANGKOK, 12 Ogos (Bernama) -- Education Malaysia Global Services (EMGS) menyasarkan peningkatan lebih 20 peratus jumlah pelajar Thailand yang melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia menerusi kerjasama dengan Thai International Education Consultants Association (TIECA).
Ketua Pegawai Eksekutif EMGS Novie Tajuddin berkata EMGS memanfaatkan rangkaian TIECA, satu-satunya persatuan profesional bagi ejen pendidikan di Thailand yang mempunyai 78 ahli aktif dalam sektor pendidikan, bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar Thailand mengenai kelebihan melanjutkan pengajian di Malaysia.
Menurut statistik EMGS, seramai 634 pelajar Thailand sedang aktif mengikuti pengajian di Malaysia pada 2025, dengan lebih 60 peratus mengikuti program sarjana muda manakala kira-kira 40 peratus lagi di peringkat pascasiswazah.
“Pendaftaran pelajar Thailand meningkat daripada 300 pada 2024 kepada 360 pada 2025 dan tahun ini, bersama TIECA, kami berharap dapat menarik lebih ramai pelajar Thailand untuk melanjutkan pengajian di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas pelancaran “Study in Malaysia Education Fair” oleh Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah di sini pada Selasa.
Pameran pendidikan itu merupakan kerjasama EMGS, Tourism Malaysia dan Persatuan Kebangsaan Institusi Pendidikan Swasta (NAPEI), serta diadakan di Chiang Mai pada 9 Ogos, Bangkok pada 11 Ogos dan akan berakhir di Hat Yai pada 13 Ogos.
Novie berkata faktor kedudukan geografi Malaysia yang berdekatan dengan Thailand, kos pengajian yang berpatutan serta kualiti pendidikan antara tarikan utama kepada pelajar Thailand untuk melanjutkan pengajian di negara ini.
“Graduan Thailand juga antara warganegara yang layak memohon Pas Graduan Malaysia selama setahun, yang membolehkan graduan antarabangsa kekal di Malaysia selepas tamat pengajian dan bekerja dalam sektor yang dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata EMGS turut bekerjasama rapat dengan Kedutaan Thailand di Malaysia bagi memperkukuh penglibatan pelajar dan kerjasama pendidikan antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Wan Zaidi mencadangkan supaya satu standard penguasaan bahasa Inggeris yang seragam diwujudkan dalam kalangan negara ASEAN bagi memudahkan pelajar melanjutkan pengajian di negara lain di rantau ini.
Beliau berkata standard bahasa Inggeris ASEAN yang seragam dapat memudahkan pelajar belajar, bekerja, bertukar idea dan bergerak dalam rantau ini, selain memberikan mereka kelayakan yang diiktiraf serta bernilai di luar negara asal.
Wan Zaidi turut mencadangkan agar universiti awam dan swasta Malaysia menawarkan biasiswa khusus kepada pelajar Thailand yang ingin melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia.
“Program biasiswa seperti itu akan memberi galakan kepada lebih ramai pelajar Thailand untuk mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi pengajian,” kata beliau.
EMGS, sebuah syarikat di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Tinggi, bertanggungjawab terutamanya memudah cara pemprosesan visa pelajar antarabangsa serta mempromosikan Malaysia sebagai hab global bagi bakat dan ilmu pengetahuan.
-- BERNAMA