Am 12/08/2026 01:51 PM

AHAM Capital Lapor Liputan Penarafan ESG Capai 99 Peratus, Perkukuh Pendedahan Iklim Pada 2025

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
AHAM Capital Lapor Liputan Penarafan ESG Capai 99 Peratus, Perkukuh Pendedahan Iklim Pada 2025
Pengarah Urusan AHAM Capital Datuk Teng Chee Wai

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- AHAM Asset Management Bhd (AHAM Capital) mencapai liputan penarafan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebanyak 99 peratus merentas semua ekuiti dan bon yang termasuk dalam skop penilaian pada 2025, menurut laporan kemampanan 2025 yang dikeluarkan hari ini.

Firma pengurusan aset dan kekayaan itu memaklumkan pihaknya juga meningkatkan ketelusan dalam pendedahan pelepasan portfolionya, mencapai liputan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 99.7 peratus dan skor kualiti data Partnership for Carbon Accounting Financials (PCAF) sebanyak 1.89.

Kejayaan itu mencerminkan data pelepasan yang kukuh dan boleh dipercayai serta meningkatkan kredibiliti pendedahan iklimnya.

“Dari segi operasi, AHAM Capital kekal komited untuk memupuk kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI) serta budaya organisasi yang kukuh, dengan mengiktiraf tenaga kerja yang pelbagai meningkatkan inovasi, kolaborasi dan dalam membuat keputusan,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) utama syarikat itu memberi manfaat kepada 78,466 orang, menyelamatkan 15,624 kilogram sisa makanan, tekstil dan elektronik daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah, serta menjangkau lebih 34,000 pengguna dalam program literasi kewangan digitalnya.

Laporan itu yang menandakan pencapaian penting dalam perjalanan kemampanan syarikat berkenaan, menggariskan kemajuan berterusan AHAM Capital untuk menerapkan elemen kemampanan merentas proses pelaburan dan operasi perniagaannya.

“Laporan ini telah disediakan dengan merujuk kepada Piawaian Universal Global Reporting Initiative 2021, iaitu rangka kerja yang diiktiraf global bagi membolehkan pendedahan dan perbandingan yang konsisten dengan rakan industri,” menurutnya.

Pengarah Urusan AHAM Capital Datuk Teng Chee Wai berkata sebagai pengurus aset, syarikat itu menyedari kesan mendalam yang boleh terhasil daripada keputusan pelaburannya ke atas alam sekitar dan masyarakat.

“Dengan menyepadukan pertimbangan ESG ke dalam proses pelaburan dan pengurusan risiko, kami berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mengenal pasti risiko material, menyokong proses membuat keputusan termaklum dan menyampaikan nilai mampan bagi pelanggan kami dalam jangka masa panjang.

“Kami komited untuk terus belajar, memperluas kepakaran kami dan meningkatkan impak kami. Cita-cita kami adalah untuk menyumbang secara bermakna kepada agenda kemampanan global, bukan sahaja sebagai pengurus aset, tetapi sebagai warga korporat yang bertanggungjawab untuk tempoh 25 tahun akan datang dan seterusnya,” kata beliau.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan AHAM Capital dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Kemampanan Kumpulan Esther Teo berkata kemampanan adalah satu perjalanan yang sentiasa berkembang yang memerlukan tadbir urus yang kukuh, pelaksanaan yang berdisiplin dan penambahbaikan yang berterusan.

“Pada 2025, kami memberi tumpuan untuk menterjemahkan komitmen kami ke dalam proses praktikal dan menyampaikan hasil yang boleh diukur merentas operasi kami, merangkumi pelaburan yang bertanggungjawab, pengurusan sumber manusia dan pendigitalan.

“Sebagai pengurus aset, usaha kemampanan kami melangkaui pelaburan bertanggungjawab. Kami terus melabur dalam program CSR yang mengangkat komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan melalui pendidikan, literasi kewangan, pemerkasaan belia dan sokongan alam sekitar,” katanya.

-- BERNAMA