ISTANBUL, 10 Ogos (Bernama-Anadolu) -- Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM) pada Ahad memaklumkan bahawa tenteranya mengalih haluan 55 kapal dagang, melumpuhkan dua kapal dan menaiki dua lagi sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan ketat sekatan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran, lapor Anadolu Ajansi.
CENTCOM menerusi hantaran di platform media sosial X, memaklumkan anggota tentera laut negara itu sedang berkawal di atas kapal USS Ross (DDG 71), satu daripada lebih 20 kapal perang AS yang dikerahkan ke Asia Barat bagi menyokong misi ketenteraan, termasuk penguatkuasaan sekatan berkenaan.
Bagaimanapun, CENTCOM tidak memberikan butiran lanjut mengenai kapal terbabit atau situasi yang membawa kepada tindakan itu.
Iran terlibat dalam konflik dengan AS sejak Februari selepas Washington dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Tehran.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan negara-negara Teluk yang menempatkan aset AS.
AS dan Iran mencapai persetujuan gencatan senjata pada April sebelum menandatangani memorandum persefahaman yang diusahakan Pakistan pada Jun bagi menamatkan konflik ketenteraan antara kedua-dua pihak serta mencapai perjanjian damai berkekalan.
Bagaimanapun, perjanjian itu gagal bertahan bulan lepas apabila kedua-dua pihak saling melancarkan serangan selama hampir dua minggu sebelum Presiden AS Donald Trump secara tiba-tiba menghentikan pengeboman susulan laporan mengenai rundingan bagi menyelesaikan konflik berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU