KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperkasakan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) sebagai sebahagian daripada usaha memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang pendidikan yang terbaik, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata SJKT bukan sekadar institusi pendidikan, malah memainkan peranan penting dalam memupuk pembelajaran, budaya dan identiti dalam kalangan murid.
“Menyaksikan para atlet muda beraksi di Kejohanan Sukan Tahunan SJKT Ladang Effingham Ke-43 hari ini menjadi satu peringatan mesra bahawa usaha pemerkasaan sekolah dan membimbing generasi masa depan perlu diteruskan.
“Setiap anak berpeluang mengembangkan potensi mereka serta memainkan peranan dalam membina Malaysia yang makmur untuk semua,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata dari 2023 hingga setakat tahun ini, sebanyak RM237.48 juta diperuntukkan bagi kerja penyelenggaraan, naik taraf dan pembinaan kemudahan baharu untuk sekolah Tamil.
"Hal ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan keseluruhan masyarakat India di negara ini serta memastikan anak-anak kita mendapat yang terbaik sepanjang tempoh persekolahan mereka," katanya.
Gobind berkata peruntukan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk terus menyokong pembangunan sekolah Tamil walaupun negara masih berdepan cabaran ekonomi.
Beliau berkata usaha memperkukuh kemudahan pendidikan perlu diteruskan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk generasi muda.
"Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat dengan sebaik mungkin dan melakukan apa yang termampu untuk terus menyokong komuniti," katanya.
-- BERNAMA