Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur terus ditutup bercampur-campur pada Khamis, disokong oleh kenaikan dalam niaga hadapan getah serantau, harga minyak mentah yang lebih kukuh dan petunjuk ekonomi yang positif, kata seorang peniaga.
Beliau berkata petunjuk ekonomi yang positif itu termasuk pengembangan berterusan dalam sektor perkhidmatan Amerika Syarikat (AS).
“Bagaimanapun, kenaikan dikekang oleh prospek permintaan yang lebih lemah daripada industri automotif dan tayar China, dengan jualan kenderaan penumpang dan kenderaan tenaga baharu (NEV) yang lebih rendah pada Julai.
“Ini sekali gus mencerminkan penggunaan getah asli yang lebih perlahan,” katanya kepada Bernama.
Katanya, sektor tayar dan automotif China kekal lemah, dengan penggunaan tayar keluli sepenuhnya menyusut kepada 63.8 peratus (-1.62 mata peratusan), jualan runcit NEV merosot sebanyak dua peratus dan jumlah jualan kenderaan penumpang menurun 18 peratus tahun ke tahun.
Pada 3 petang, harga Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) meningkat 7.5 sen kepada 904.5 sen sekilogram (kg), manakala lateks pukal susut setengah sen kepada 690.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA