BERLIN, 6 Ogos (Bernama-dpa) -- Dianggarkan hampir 12,000 orang di Jerman meninggal dunia akibat faktor berkaitan haba setakat tahun ini, dengan sebahagian besar kematian dikaitkan dengan gelombang haba melampau pada penghujung Jun, menurut Institut Robert Koch (RKI) pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Agensi kesihatan awam Jerman itu kini menganggarkan kira-kira 9,600 kematian berkaitan haba berlaku dalam tempoh seminggu sahaja, iaitu antara 22 hingga 28 Jun, apabila suhu mencecah sekitar 40 darjah Celsius di banyak kawasan di negara itu. Anggaran yang disemak semula itu jauh lebih tinggi berbanding anggaran terdahulu yang mencatatkan sedikit melebihi 5,000 kematian bagi tempoh sama.
Anggaran terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian berkaitan haba antara 6 April hingga 26 Julai meningkat kepada kira-kira 11,900 kes. Sebelum ini, jumlah kematian tahunan tertinggi direkodkan pada 2018, iaitu sekitar 9,000 kes.
RKI berkata anggaran yang disemak semula itu dibuat berdasarkan data kematian yang lebih lengkap daripada Pejabat Perangkaan Persekutuan Jerman, yang diterbitkan dengan kelewatan lima minggu, serta data suhu daripada 52 stesen cuaca yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Cuaca Jerman.
Golongan warga emas menyumbang sebahagian besar daripada kematian berkaitan haba, dengan mereka yang berusia 85 tahun ke atas merupakan kumpulan paling terjejas.
RKI berkata kadar kematian berkaitan haba lazimnya meningkat apabila purata suhu mingguan melebihi 20 darjah Celsius. Dalam tempoh 22 hingga 28 Jun, purata suhu di seluruh negara mencecah 26.4 darjah Celsius, jauh melepasi paras berkenaan.
-- BERNAMA-dpa