KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah Kongres Farmasi Dunia anjuran Persekutuan Farmaseutikal Antarabangsa (FIP) tahun depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata penganjuran yang dijadualkan berlangsung di ibu negara itu dimaklumkan sendiri oleh Presiden FIP Paul Sinclair ketika membuat kunjungan hormat terhadap Dzulkefly di ibu pejabat Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi FIP Carola Van Der Hoeff.
“Menurut Paul Sinclair, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah bagi acara berprestij ini adalah pengiktirafan besar terhadap kepakaran dan keupayaan sistem penjagaan kesihatan negara kita, baik di peringkat serantau mahupun antarabangsa,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.
Menurut Dzulkefly, pertemuan itu juga dimanfaatkan untuk bertukar-tukar pandangan dan meneroka potensi kerjasama strategik yang lebih meluas.
“Antara fokus utama perbincangan termasuk usaha pengukuhan kawal selia dan pengawasan Kerintangan Antimikrob, pemerkasaan penjagaan kesihatan primer, keselamatan pesakit serta lonjakan inovasi dalam perkhidmatan farmasi dengan memanfaatkan kepakaran global FIP,” kata beliau.
Dzulkefly berkata menerusi kolaborasi itu, Malaysia komited untuk terus berkongsi kepakaran tempatan dan memperkukuh amalan kawal selia agar sentiasa selari dengan piawaian antarabangsa, sekali gus memberi manfaat kepada ekosistem kesihatan dan perkhidmatan farmasi di Malaysia.
-- BERNAMA