Am 06/08/2026 06:27 PM

J&T Express Sasar Pasang 20 Lokar Bungkusan Pintar Di Stesen LRT Menjelang Akhir Tahun

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
J&T Express Sasar Pasang 20 Lokar Bungkusan Pintar Di Stesen LRT Menjelang Akhir Tahun
Naib Presiden J&T Express, Vincent Low (dua, kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pride, Syed Redza Algadrie Syed Hassan (tiga, kiri) dan Pengurus Pengurusan Yoyi Station, Wang Hui (empat, kiri) pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara J&T Express, Pride Prasarana dan Yoyi Station di Ibu Pejabat J&T Express, KL Eco City. Turut hadir Pengurus Besar Pride, Ashok Panchalingam (kiri), Pengarah Operasi J&T Express, Song Long (lima, kiri) dan Pengurus Yoyi Station, Xiao Qing Long (kanan). -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- J&T Express Malaysia menyasarkan untuk memasang 20 lokar bungkusan pintar di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) terpilih yang mempunyai trafik tinggi menjelang akhir tahun ini yang akan memberikan manfaat kepada kira-kira 80,000 penumpang.

Naib Presidennya Vincent Low berkata inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) dan YoYi Station itu direka bagi menyediakan pilihan perkhidmatan kendiri yang lebih mudah kepada pengguna pengangkutan itu untuk pengambilan dan penyerahan bungkusan.

Lokar bungkusan pintar itu menyokong transaksi dua hala, membolehkan pelanggan mengambil bungkusan yang diterima dan menghantar bungkusan dengan mengikut arahan pada skrin.

Low berkata inisiatif itu melengkapkan perkhidmatan utama penghantaran dari pintu ke pintu J&T Express Malaysia dengan menawarkan fleksibiliti yang lebih luas ketika jumlah bungkusan terus meningkat.

“Kami mengendalikan secara purata tiga juta bungkusan setiap hari di Malaysia. Walaupun penghantaran dari pintu ke pintu kekal sebagai perkhidmatan utama, menyediakan penyelesaian penghantaran yang fleksibel penting memandangkan jumlah bungkusan terus meningkat,” katanya. 

Low berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara J&T Express Malaysia, YoYi Station dan PRIDE di sini hari ini.

Beliau berkata fasa pertama pelaksanaannya melibatkan pemasangan lokar bungkusan pintar di Stesen LRT Kerinchi dan LRT Bangsar yang dipilih kerana trafik penumpang yang tinggi bagi memaksimumkan akses dan kemudahan tersebut.

Setiap lokar bungkusan pintar boleh memuatkan sehingga 200 petak, sekali gus menyediakan kaedah yang lebih fleksibel dan mudah kepada rakyat Malaysia untuk mengambil dan menghantar bungkusan sebagai sebahagian daripada perjalanan harian mereka.

Beliau berkata syarikat itu sentiasa meningkatkan keupayaan teknologinya untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah dengan lebih baik serta menambah baik pengalaman penghantaran secara keseluruhan.

Pada masa ini, J&T Express mengendalikan kira-kira 3,000 pusat pengambilan dan penyerahan (PUDO) di seluruh negara yang membolehkan pelanggan mengambil bungkusan mereka di lokasi ditetapkan.

Beliau berkata syarikat itu menjangkakan kadar penggunaan pengambilan kendiri akan meningkat daripada lima peratus pada masa ini kepada 10 peratus menjelang akhir tahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIDE Syed Redza Algadrie Syed Hassan berkata selain lokar fizikal, kerjasama itu turut memanfaatkan platform MyRapid Pulse untuk menyampaikan promosi eksklusif J&T Express, kempen libat urus bersasar dan perkhidmatan digital nilai tambah lain.

“Ini membolehkan kami mewujudkan pengalaman yang lebih terhubung dan bermanfaat untuk pelanggan selain memperkukuh libat urus dalam ekosistem Prasarana. Inisiatif ini menandakan permulaan kepada kerjasama yang lebih luas,” katanya.

-- BERNAMA