Am 06/08/2026 02:26 PM

Fadil Saksikan Serah Terima Tugas Enam Jawatan Kanan PDRM Kuala Lumpur

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Fadil Saksikan Serah Terima Tugas Enam Jawatan Kanan PDRM Kuala Lumpur
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Dang Wangi antara SAC Sazalee Adam (kiri) kepada Supt Nuzulan Mohd Din ketika Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Pegawai Kanan Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus hari ini menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas melibatkan enam jawatan kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kuala Lumpur yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

Jawatan yang terlibat ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Daerah Sentul, Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi serta Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi.

Bagi jawatan Ketua JSJ, SAC Zulkarnain Samsudin yang sebelum ini memangku jawatan berkenaan menyerahkan tugas kepada SAC Sazlee Adam, manakala jawatan Ketua JSJN diserahkan SAC Haslah Bachok kepada ACP Kee Hang Kee.

Jawatan Ketua Polis Daerah Dang Wangi pula diserahkan Sazlee kepada Supt Nuzulan Mohd Din yang memangku jawatan berkenaan, manakala Ketua Polis Daerah Sentul diserahkan SAC Basri Sagoni kepada Supt Jasni Zolpa yang turut memangku jawatan itu.

Majlis berkenaan turut menyaksikan serah terima tugas Timbalan Ketua Cawangan Khas Risikan dan Operasi daripada SAC Kamaruzaman Md Alib kepada ACP Saefuddin @ Mohd Fitri Abdul Rahman, selain serah terima tugas Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi daripada Zulkarnain kepada Supt Ong Seng Keong.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohd Azani Omar.

Dalam ucapannya, Fadil berkata kenaikan pangkat bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi dan dedikasi seseorang pegawai, sebaliknya membawa amanah yang lebih besar yang perlu digalas dengan penuh integriti, profesionalisme dan keikhlasan.

Beliau berkata majlis serah terima tugas mencerminkan kesinambungan kepimpinan dalam PDRM, manakala pertukaran jawatan merupakan proses penting bagi memastikan organisasi terus berkembang melalui idea, pengalaman dan pendekatan baharu tanpa menjejaskan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

"Dalam kita mendepani cabaran keselamatan yang semakin kompleks, saya menyeru agar seluruh warga Polis Kuala Lumpur terus memperkukuhkan komitmen dalam memerangi jenayah, membanteras penyalahgunaan dadah, memperkasakan siasatan, meningkatkan kesiapsiagaan operasi dan memperkukuhkan hubungan strategik bersama komuniti," katanya.

-- BERNAMA