Am 06/08/2026 02:13 PM

IPP Tanjung Demong Sebagai Hab Pengeluaran Tiga Spesies Benih Ikan Premium Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
IPP Tanjung Demong Sebagai Hab Pengeluaran Tiga Spesies Benih Ikan Premium Negara
Kredit: FB - DOF Malaysia

JERTIH, 6 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia akan memberi tumpuan kepada pembangunan induk tiga spesies ikan marin utama iaitu siakap putih, ikan susu dan bawal emas bagi memastikan bekalan benih berkualiti dapat dihasilkan untuk memenuhi keperluan industri akuakultur marin negara. 

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pembangunan) Datuk Azahari Othman berkata Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Tanjung Demong di sini akan menjadi pusat pembangunan induk spesies ikan premium tersebut dengan menjalankan aktiviti termasuk penyelidikan, pembangunan teknologi pembiakan dan penghasilan telur, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

"IPP Tanjung Demong juga akan memperkukuh penyelidikan dalam aspek pembaikan genetik, pembiakan, pemakanan dan pengurusan kesihatan induk bagi menghasilkan stok induk tempatan berkualiti, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber induk luar negara. 

“Institut ini turut berperanan sebagai pusat latihan dan pemindahan teknologi kepada pegawai teknikal serta pengusaha akuakultur bagi menyokong pembangunan industri akuakultur marin negara, di samping memastikan teknologi pembiakan yang dibangunkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh industri itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena lawatan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus ke IPP Tanjung Demong di sini hari ini. 

Azahari berkata kesemua spesies itu dipilih di bawah projek tersebut berdasarkan potensi pengeluaran, permintaan pasaran serta tahap kemajuan teknologi pembiakan masing-masing. 

Beliau berkata ikan siakap putih kekal sebagai spesies utama akuakultur marin negara dengan menyumbang kira-kira 67 peratus daripada pengeluaran ikan marin bersirip pada 2024, manakala penyelidikan di bawah RMK13 akan memberi tumpuan kepada penghasilan induk yang mempunyai kadar pertumbuhan tinggi, tahan penyakit dan prestasi pembiakan konsisten. 

Dalam pada itu, katanya IPP Tanjung Demong turut mencipta sejarah apabila berjaya menghasilkan telur ikan susu pertama di Malaysia menerusi pembiakan semula jadi sebanyak 20 juta telur dan lebih 200,000 benih telah dihasilkan setakat ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata penyelidikan mengenai ikan susu pula antara lain akan memfokuskan pembangunan populasi induk tempatan, penghasilan telur sepanjang tahun serta meningkatkan kadar penetasan dan kelangsungan hidup larva. 

“Bagi bawal emas pula penyelidikan memberi penekanan antaranya kepada penghasilan induk berkualiti, peningkatan prestasi pembiakan dan penghasilan telur secara konsisten serta penambahbaikan teknik asuhan larva,” katanya. 

-- BERNAMA