Am 05/08/2026 12:55 PM

PGA Rampas E-waste Bernilai Lebih RM9 Juta Di Ipoh

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PGA Rampas E-waste Bernilai Lebih RM9 Juta Di Ipoh
Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta SAC Balveer Singh Mahindar Singh menunjukkan gambar sisa elektronik (e-waste) yang dirampas dalam serbuan di tiga premis sekitar Ipoh pada 3 Ogos lalu ketika sidang media di PGA Ulu Kinta hari ini.

IPOH, 5 Ogos (Bernama) -- Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta merampas sebanyak 120,220 kilogram (kg) sisa elektronik (e-waste) bernilai kira-kira RM9.39 juta dan pelbagai jenis mesin serta jentera dalam serbuan di tiga premis di sekitar Ipoh, Isnin lepas.

Komander Briged Utara PGA SAC Balveer Singh Mahindar Singh berkata sebanyak 14 individu berumur antara 20 hingga 50 tahun membabitkan dua lelaki warga tempatan yang dipercayai pengurus premis serta 12 pekerja asing warga Myanmar terdiri daripada lapan lelaki dan empat wanita ditahan dalam operasi itu.

“Hasil risikan selama seminggu mendapati ketiga-tiga premis terbabit dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan sisa elektronik tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan berselindung di sebalik operasi kilang kitar semula.

“Pasukan serbuan turut menemukan sejumlah sisa elektronik yang disimpan di dalam beg jumbo serta dilonggok di dalam dan pekarangan ketiga-tiga premis berkenaan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata kesemua barang kes diserahkan kepada JAS Perak untuk siasatan mengikut Seksyen 18(1), Seksyen 25(1), Seksyen 34A dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. 

Balveer Singh berkata Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut membuka siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 55B dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, manakala Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan siasatan di bawah Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan melibatkan 28 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Briged Utara dan Batalion 18 PGA dengan kerjasama JAS Perak, JIM Perak, LHDN dan beberapa pihak berwajib yang lain.

“Kita akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi bagi membanteras kegiatan pemprosesan e-waste secara haram yang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh memberikan kesan buruk kepada alam sekitar dan kesihatan awam,” katanya.

 -- BERNAMA