Oleh Wilawan Watcharasakwet
BANGKOK, 4 Ogos (Bernama) -- Thailand memperkukuh mekanisme tindak balas bencananya bagi menangani ancaman banjir dan kemarau, dengan meletakkan 1,363 lokasi berisiko banjir serta 444 kawasan yang berdepan ancaman cuaca kering berpanjangan di bawah pemantauan rapi.
Timbalan Jurucakap Kerajaan Kapten Patdarasm Thongsaluaykorn berkata empat jawatankuasa peringkat wilayah telah ditubuhkan bagi membolehkan koordinasi tindak balas banjir dan kemarau melalui keputusan yang dibuat dengan cepat, arahan berpusat serta kerjasama erat antara agensi.
"Kerajaan sedang mempertingkat mekanisme pengurusan bencana bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada komuniti yang terjejas dengan pantas, cekap dan teratur," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Patdarasm berkata jawatankuasa berkenaan akan memantau keadaan cuaca dan paras air, menyelaraskan operasi pemindahan darurat, menguruskan bantuan serta pampasan, di samping mengarahkan usaha pemulihan pascabencana.
Jawatankuasa itu turut diberi kuasa untuk mengarahkan agensi kerajaan di wilayah masing-masing, menilai perkembangan semasa dan menyebarkan maklumat yang tepat kepada orang ramai.
Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengajian Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Yodchanan Wongsawat mempengerusikan jawatankuasa wilayah utara, yang mengadakan mesyuarat pertamanya di Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) pada Selasa.
Patdarasm menegaskan bahawa kerajaan kekal komited terhadap pengurusan bencana secara proaktif menerusi perancangan bersepadu, penyelarasan antara agensi yang lebih baik serta pembuat keputusan yang pantas demi melindungi nyawa, harta benda dan sumber pendapatan rakyat.
Peningkatan tahap kesiapsiagaan itu dibuat susulan amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Thailand berhubung kejadian hujan lebat, banjir kilat dan limpahan air sungai di kawasan utara, timur laut dan timur Thailand.
Bot-bot kecil turut dinasihatkan supaya tidak turun ke laut di bahagian atas Laut Andaman bermula 4 hingga 9 Ogos serta bahagian atas Teluk Thailand dari 6 hingga 9 Ogos.
Selain ancaman banjir dalam masa terdekat, Thailand turut bersiap sedia berdepan keadaan cuaca yang lebih kering.
Akhbar Bangkok Post melaporkan fenomena Super El Nino yang dijangka bermula dari Oktober hingga ke peringkat awal musim hujan 2027 boleh mengurangkan taburan hujan sekurang-kurangnya 10 peratus, sekali gus menjejaskan tanaman, pengeluaran padi dan bekalan air.
-- BERNAMA