KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Tentera Darat Malaysia (TDM) menafikan dakwaan bekas Staf Sarjan K. Vegeneswaran bahawa dirinya masih berstatus anggota sedang berkhidmat dan menegaskan perkhidmatan lelaki itu telah ditamatkan mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
TDM dalam kenyataan hari ini turut menyifatkan dakwaan lelaki itu dalam video tular di TikTok Nambikkai pada 23 Julai bahawa TDM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kerajaan telah mengingkari keputusan Mahkamah Rayuan sebagai tidak berasas.
TDM memaklumkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Mei 2023 hanya membatalkan tindakan pemberhentian terdahulu atas isu prosedur dan tidak membatalkan sabitan tatatertib terhadap Vegeneswaran yang didapati positif dadah methamphetamine dan amphetamine yang disahkan Jabatan Patologi, Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang.
“Susulan keputusan itu, TDM telah mengambil tindakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Terma-Terma Perkhidmatan Bagi Angkatan Tetap) 2013 dengan menamatkan perkhidmatannya secara biasa iaitu tempoh perkhidmatan sepenuh masa (18 tahun).
“Semua tunggakan gaji, elaun dan faedah yang layak telah dibayar dan diterima oleh bekas anggota tanpa sebarang bantahan atau pertikaian pada ketika itu,” menurut kenyataan itu.
TDM juga menafikan dakwaan Vegeneswaran masih berstatus anggota kerana masih memegang kad MyTentera dengan menjelaskan status seseorang anggota ditentukan oleh undang-undang dan rekod perkhidmatan, bukannya pemilikan kad pengenalan tentera.
“Kad MyTentera itu masih berada dalam simpanan kerana urusan dokumentasi pemberhentian belum disempurnakan oleh Vegeneswaran,” menurut kenyataan itu.
TDM memaklumkan bekas anggota yang ditamatkan perkhidmatan tidak lagi berhak mengemukakan diri sebagai anggota tentera darat selain penggunaan kad MyTentera atau pemakaian pakaian seragam bagi menggambarkan seseorang masih berkhidmat menjadi kesalahan di bawah Kanun Keseksaan serta tertakluk kepada siasatan dan tindakan undang-undang.
Pada masa sama, TDM menegaskan pihaknya sentiasa menghormati setiap keputusan mahkamah serta melaksanakan tindakan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
TDM menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan imej dan reputasi ATM.
-- BERNAMA