Dunia 05/08/2026 08:18 AM

Rundingan Iran-Oman Mengenai Selat Hormuz Berkembang Positif - Baghaei

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Rundingan Iran-Oman Mengenai Selat Hormuz Berkembang Positif - Baghaei
--REUTERS

TEHRAN, 5 Ogos (Bernama-IRNA) -- Iran dan Oman meneruskan rundingan bagi mewujudkan aturan perkapalan yang selamat di Selat Hormuz, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA) memetik jurucakap Kementerian Luar Iran Esmaeil Baghaei.

Baghaei pada Selasa berkata rundingan antara kedua-dua negara itu menunjukkan perkembangan positif pada peringkat teknikal dan politik.

“Rundingan yang diadakan antara dua negara pesisir Selat Hormuz itu memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan laluan perkapalan selamat, di samping melindungi hak kedaulatan serta kepentingan keselamatan Iran dan Oman,” kata beliau. 

Tehran sedang bekerjasama dengan Muscat untuk membangunkan mekanisme yang diperlukan bagi aturan perkapalan pada masa hadapan.

Menurut Baghaei, hasil akhir rundingan itu akan diumumkan selepas perbincangan selesai.

Pegawai Iran menegaskan bahawa rundingan itu merupakan proses dua hala antara Tehran dan Muscat serta tidak melibatkan Amerika Syarikat (AS), meskipun beberapa pegawai AS mendakwa Washington memainkan peranan dalam perkembangan berkaitan laluan air strategik itu.

-- BERNAMA-IRNA