KYIV, 4 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menamatkan khidmat Duta Ukraine ke Amerika Syarikat (AS) Olha Stefanishyna, menurut dekri yang diterbitkan Pejabat Presiden pada Isnin, lapor Xinhua.
Stefanishyna yang berkhidmat sebagai duta sejak tahun lepas berkata dalam hantaran di Facebook bahawa beliau memohon untuk dilepaskan daripada jawatan atas sebab peribadi.
Beliau menyifatkan khidmatnya di Washington sebagai “penghormatan terbesar” dalam hidupnya.
“Kami berjaya meningkatkan bekalan senjata dari Amerika Syarikat dan mengekalkan sokongan ketika suasana politik di Washington tidak memihak kepada kami,” katanya.
Zelenskyy masih belum mengumumkan pengganti bagi jawatan itu.
Tindakan itu dibuat susulan rombakan kerajaan yang dilancarkan Zelenskyy pada Julai, ketika Kyiv berusaha memastikan sokongan ketenteraan AS berterusan dalam konfliknya dengan Rusia.
Hubungan terbaharu antara Zelenskyy dan Presiden AS Donald Trump tertumpu kepada kerjasama pertahanan udara serta usaha diplomatik untuk menamatkan konflik Ukraine-Rusia.
-- BERNAMA-XINHUA