Am 04/08/2026 12:03 PM

"Mega Sports Weekend" Oktober Ini, Rancakkan Pelancongan, Ekonomi Negara

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Uzaidi Udanis (Gambar fail)

By Soon Li Wei

KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Penganjuran beberapa acara sukan antarabangsa di Malaysia pada Oktober ini, termasuk Formula Satu (F1) Grand Prix Bahrain Litar Antarabangsa Sepang (SIC), dijangka memberi lonjakan kepada sektor pelancongan negara serta merancakkan lagi aktiviti ekonomi.

Pakar pelancongan dalam negeri Uzaidi Udanis berkata pertembungan beberapa acara berprestij seperti Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM), Le Tour de Langkawi (LTdL) dan aksi bola sepak All Stars Legends yang dijadual pada 2 hingga 4 Okt, merupakan peluang strategik mengangkat Malaysia sebagai hab pelancongan sukan serantau.

“Saya melihat situasi ini sebagai satu peluang yang amat besar untuk Malaysia. Ia bukan hanya mengenai F1, kita mempunyai beberapa acara utama berlangsung pada hujung minggu yang sama," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Pada 26 Julai lepas, Formula Satu dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia sebagai tuan rumah perlumbaan itu di Litar Sepang pada 2 hingga 4 Okt, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian muktamad serta kelulusan yang diperlukan, termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.

Perlumbaan itu dijadual berlangsung antara GP Azerbaijan dan GP Singapura dalam kalendar F1.

Uzaidi, yang juga pengasas Young Inbound Matters berkata berbanding mempromosikan setiap acara secara berasingan, Malaysia wajar memasarkan tempoh berkenaan sebagai Mega Sports Weekend.

"Setiap acara menarik kelompok pengunjung berbeza seperti peminat sukan permotoran, pelari, peminat berbasikal dan penyokong bola sepak. Secara kolektif, ia mampu meningkatkan permintaan terhadap hotel, syarikat penerbangan, restoran, pusat beli-belah, pengangkutan dan tarikan pelancongan tempatan," katanya.

Beliau mengakui kehadiran pengunjung dalam jumlah yang besar berpotensi memberi tekanan kepada infrastruktur dan aliran trafik, namun perancangan rapi akan membolehkan Malaysia membuktikan keupayaannya menganjurkan beberapa acara antarabangsa berskala besar secara serentak.

"Sebagai perancang strategi pelancongan, saya melihat pelancongan bukan sekadar membawa masuk lebih ramai pelawat, tetapi bagaimana memastikan mereka berbelanja lebih banyak dan tinggal lebih lama. Inilah jenis hujung minggu yang mampu mencapai matlamat tersebut," katanya.

Uzaidi berkata nilai ekonomi sebenar bukan hanya terletak pada penganjuran acara berkenaan, sebaliknya menggesa pemain industri bekerjasama menawarkan pakej pelancongan sebelum dan selepas acara bagi menggalakkan pelawat melanjutkan tempoh penginapan mereka.

“Jika seseorang datang dari Australia, Eropah atau Asia Barat semata-mata untuk menyaksikan F1, mengapa kita biarkan mereka pulang selepas dua atau tiga hari? Kita sepatutnya menggalakkan mereka meneroka destinasi seperti Melaka, Genting Highlands, Putrajaya, Langkawi, Pulau Pinang, Sabah atau Sarawak," katanya.

Beliau berkata kemudahan tempahan dalam talian yang lancar serta pengalaman pelancongan disusun rapi menjadi antara faktor penting untuk menggalakkan pelawat tinggal lebih lama sekali gus meningkatkan hasil sektor pelancongan.

"Sukan membawa pelawat, manakala pengalaman membuatkan mereka terus tinggal," katanya sambil menambah manfaat itu bukan sahaja dinikmati sektor perhotelan, restoran, ejen pelancongan dan penyedia pengangkutan, malah turut memberi limpahan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta komuniti setempat,”  katanya.

Sementara itu, Tourism Selangor memaklumkan penganjuran GP Bahrain dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi bertaraf dunia bagi penganjuran acara sukan antarabangsa.

Menurut kenyataan agensi itu, acara berkenaan dijangka meningkatkan ketibaan pelawat, kadar penghunian hotel, perbelanjaan runcit, penggunaan perkhidmatan makanan dan minuman, permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan serta kunjungan ke pelbagai destinasi pelancongan di seluruh Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata acara itu menawarkan platform bertaraf global untuk mempamerkan kepelbagaian produk dan tarikan pelancongan Selangor kepada dunia.

"F1 bukan sekadar acara sukan bertaraf dunia, malah merupakan platform global yang mampu merangsang perjalanan serta menghubungkan sesuatu destinasi dengan jutaan peminat di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata Tourism Selangor akan bekerjasama rapat dengan pemain industri, termasuk syarikat penerbangan, hotel dan pengusaha pelancongan, bagi membangunkan pakej pelancongan menarik yang dapat menggalakkan pelawat tinggal lebih lama serta meneroka lebih banyak destinasi.

Selain Sepang, limpahan kehadiran pelawat turut dijangka memberi manfaat kepada kawasan utama lain seperti Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya, Cyberjaya, Kajang dan Bangi, sekali gus mewujudkan impak ekonomi lebih meluas di seluruh Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pelancongan MCA Datuk Lawrence Chiew Kai Heng berkata kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah F1 tidak seharusnya diukur berdasarkan jualan tiket semata-mata, sebaliknya melalui jumlah keseluruhan perbelanjaan pelawat yang dijana kepada ekonomi domestik.

Merujuk kepada pengalaman Singapura, beliau berkata GP Singapura telah menjana lebih S$2.2 bilion hasil pelancongan sejak 2008, dengan setiap perlumbaan menyumbang kira-kira S$150 juta.

Beliau berkata manfaat sama berpotensi dicapai Malaysia sekiranya acara bertaraf global dimanfaatkan secara optimum.

"Penerima manfaat terbesar ialah rakyat Malaysia sendiri, termasuk pemandu teksi dan e-hailing, penghantar makanan, pengusaha bas, agensi pelancongan, hotel, penjaja serta peruncit," katanya.

Chiew berkata limpahan manfaat itu juga perlu diperluas ke negeri-negeri berhampiran seperti Negeri Sembilan, dengan destinasi seperti Port Dickson berpotensi menarik lebih ramai pelawat menerusi produk ekopelancongan dan pengalaman pelancongan tempatan.

Beliau berkata usaha menggalakkan pelawat tinggal lebih lama amat penting kerana setiap tambahan satu malam penginapan akan meningkatkan pendapatan perniagaan tempatan.

"F1 bukan sekadar menganjurkan satu perlumbaan. Ia perlu menjadi sebahagian daripada strategi nasional untuk memanfaatkan acara sukan dan hiburan bertaraf global bagi merangsang pertumbuhan ekonomi," katanya.

Dengan penganjuran Tahun Melawat Selangor 2026 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, pemain industri percaya Mega Sports Weekend pada Oktober berpotensi menjadi pemangkin peningkatan ketibaan pelancong, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan sukan utama di rantau ini.

-- BERNAMA