KUANTAN, 3 Ogos (Bernama) -- Empat individu maut, manakala seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok dalam kejadian di Jalan Lama Kuala Lumpur menuju ke Pintu Gerbang Janda Baik, Bentong, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam pada kira-kira 12.30 tengah hari.
Beliau berkata ketika kejadian kesemua mangsa berada di dalam sebuah kenderaan jenis Ford Raptor.
“Mangsa yang maut ialah pemandu lelaki berusia 35 tahun, seorang wanita berusia 36 tahun yang merupakan penumpang hadapan bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipangkunya, serta seorang lagi lelaki berusia 40 tahun yang duduk di bahagian belakang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berada di tempat duduk belakang cedera dan dihantar ke Hospital Bentong untuk menerima rawatan.
“Kanak-kanak itu dipercayai merupakan kembar kepada kanak-kanak yang maut berdasarkan identiti yang ditemukan,” katanya.
Zaiham berkata kesemua mayat dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati empat daripada lima individu yang berada di dalam kenderaan itu merupakan ahli keluarga, manakala hubungan pemandu dengan mereka masih belum dapat dipastikan.
Selain itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang berkata sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Janda Baik dan Pasukan Keluaran Operasi (PKO) BBP Bentong telah mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan berkenaan menggunakan peralatan khas resque tool.
Sementara itu, kanak-kanak lelaki yang cedera itu telah dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi menjalani pemeriksaan lanjut.
Bernama difahamkan kanak-kanak berkenaan akan menjalani pemeriksaan lanjut susulan kecederaan yang dialaminya dalam kejadian yang mengorbankan empat ahli keluarganya yang lain itu.
Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kemudiannya turut mengesahkan empat individu yang maut dalam kejadian berkenaan ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran Allahyarham Mohd Radzi Rahimi bersama isteri, anak dan adik iparnya.
-- BERNAMA