ATHENS, 3 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Dua kru maut manakala dua lagi terselamat selepas dua helikopter pemadam kebakaran berlanggar di udara ketika memadamkan kebakaran hutan besar di barat wilayah Attica pada Ahad, menurut pihak berkuasa Greece, lapor Xinhua.
Jurucakap Perkhidmatan Bomba Vassilis Vathrakogiannis dalam sidang media mengesahkan kematian seorang juruterbang warga Denmark dan seorang penyelaras operasi pemadaman kebakaran warga Greece.
Mangsa yang terselamat dikenal pasti sebagai seorang juruterbang warga Britain dan seorang lagi penyelaras operasi pemadaman kebakaran warga Greece, dengan seorang daripada mereka dilaporkan cedera.
Dua helikopter itu, yang masing-masing membawa dua kru, berlanggar ketika menjalankan operasi pemadaman kebakaran dari udara sebelum terhempas berhampiran kawasan pesisir pantai Psatha, sekali gus mencetuskan operasi mencari dan menyelamat segera.
Kedua-dua helikopter jenis Bell itu disewa bagi menyokong operasi memadam kebakaran hutan besar yang sedang berlaku di Attica dan Boeotia.
Pihak berkuasa memaklumkan punca sebenar serta keadaan yang menyebabkan perlanggaran itu masih dalam siasatan.
-- BERNAMA-XINHUA