Am 01/08/2026 05:06 PM

Dua Adik-beradik Ditahan Ketika Cuba Larikan Dua Tan Buah Kelapa Sawit

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Dua Adik-beradik Ditahan Ketika Cuba Larikan Dua Tan Buah Kelapa Sawit
Ketua Polis Daerah Jasin Supt Lee Robert Foto kredit : IPD Jasin

JASIN, 1 Ogos (Bernama) -- Cubaan dua adik-beradik lelaki melarikan kira-kira dua tan buah kelapa sawit dipercayai dicuri tidak berjaya, selepas kedua-dua mereka ditahan polis di sebuah ladang sawit di Batu 21, Bukit Katong Rim, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintenden Lee Robert berkata kedua-dua suspek berusia 22 dan 24 tahun itu, ditahan kira-kira 12.30 tengah malam tadi selepas lebih lima jam berada dalam kebun kelapa sawit berkenaan untuk memotong buah kelapa sawit dan memunggahnya ke dalam sebuah lori jenis Isuzu.

Beliau berkata polis menerima laporan kes berkenaan yang dibuat seorang lelaki berusia 58 tahun, yang merupakan pengurus ladang kelapa sawit berkenaan pada 11.24 malam tadi.

“Pengurus ladang berkenaan dimaklumkan oleh pekerjanya terdapat dua individu tidak dikenali telah masuk ke ladang itu tanpa kebenaran menggunakan sebuah lori kira-kira 7.45 petang semalam.

“Pekerja terlibat telah membuat pemerhatian dari jauh dan mendapati kedua-dua suspek sedang mencuri buah kelapa sawit dalam ladang seluas kira-kira 8.09 hektar itu dan memunggahkan ke dalam lori mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pemerhatian polis di lokasi kejadian mendapati terdapat aktiviti mengambil buah kelapa sawit, yang dipercayai dilakukan tanpa kebenaran pemilik sebelum serbuan dilakukan bagi menahan kedua-dua suspek.

“Polis turut merampas sebuah lori jenis Isuzu yang digunakan untuk mengangkut buah kelapa sawit berkenaan selain dua batang besi pencucuk sawit dan sebatang sabit,” katanya.

Lee berkata hasil semakan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan di bawah di bawah nama sebuah syarikat dan pemiliknya syarikat itu merupakan seorang daripada suspek terlibat.

Beliau berkata saringan urin yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek terlibat negatif dan mereka direman tiga hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti penglibatan individu lain yang terlibat sama dalam kejadian curi buah kelapa sawit tersebut,” katanya.

-- BERNAMA