IPOH, 1 Ogos (Bernama) -- Malaysia melakar sejarah apabila memuktamadkan Ipoh Accord hasil strategik utama Persidangan Meja Bulat Peringkat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan (ACMROCH) 2026 yang sedang berlangsung di sini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kejayaan berkenaan membuktikan komitmen bersama ASEAN dan China untuk beralih daripada dialog kepada tindakan.
“Malaysia berbangga menjadi pemudah cara kepada kerjasama strategik yang akan memacu pembangunan bandar mampan, penyediaan perumahan berkualiti serta pembinaan komuniti yang lebih bersatu padu demi kesejahteraan rakyat di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Peringkat Menteri ACMROCH 2026 yang turut disertai Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China Ni Hong bersama menteri, timbalan menteri, pegawai kanan kerajaan serta perwakilan dar negara anggota ASEAN.
Bertemakan “Bandar Mampan, Perumahan Berkualiti, Komuniti Bersatu Padu”, persidangan yang menghimpunkan 300 peserta itu berlangsung hari ini hingga esok.
Selain itu, Nga berkata Ipoh Accord mengiktiraf perumahan sebagai pelaburan sosial jangka panjang yang bukan sahaja dinilai daripada kos pembinaan, tetapi juga menitikberatkan aspek kualiti, kebolehtahanan, kebolehcapaian, penyelenggaraan, kecekapan penggunaan utiliti serta keselesaan untuk didiami.
Beliau berkata dokumen berkenaan turut memberi penekanan terhadap pembentukan kejiranan yang selamat, inklusif dan mudah diakses bagi memperkukuh kesejahteraan sosial, meningkatkan kepercayaan dalam komuniti serta memperkukuh daya tahan masyarakat.
Sementara itu, selain pemuktamadan Ipoh Accord, AMROCH 2026 turut memperkukuh kerjasama tiga dimensi iaitu kerjasama antara kerajaan melalui perkongsian dasar dan amalan terbaik, kerjasama industri menerusi penerapan teknologi, inovasi dan penyelesaian mampan serta kerjasama antara bandar melalui pertukaran pengalaman ke arah membangunkan bandar yang lebih inklusif, berdaya huni dan berdaya tahan.
“Kejayaan ini mencerminkan kepimpinan Malaysia dalam menghimpunkan rakan-rakan serantau ke arah merealisasikan aspirasi bersama membangunkan bandar yang mampan, menyediakan perumahan berkualiti serta membina komuniti yang lebih inklusif, berdaya tahan dan sejahtera.
“Kejayaan ACMROCH 2026 dan pemuktamadan Ipoh Accord bukan sahaja melakar sejarah baharu dalam kerjasama ASEAN-China, malah menjadi asas kukuh pelaksanaan inisiatif bersama yang memacu pembangunan bandar mampan, penyediaan perumahan berkualiti dan pembentukan komuniti lebih inklusif, berdaya tahan serta sejahtera demi manfaat rakyat di seluruh rantau,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua negara anggota ASEAN, China, sekretariat ASEAN, delegasi, pihak berkuasa tempatan, rakan strategik dan pemain industri serta kementerian, jabatan dan agensi yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan ACMROCH 2026.
-- BERNAMA