Am 01/08/2026 04:04 PM

Kes Dadah Di KLIA Meningkat Sekali Ganda, Rampasan Cecah RM108.35 Juta

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Kes Dadah Di KLIA Meningkat Sekali Ganda, Rampasan Cecah RM108.35 Juta
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan peningkatan sekali ganda kes dadah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan 108 kes dari Januari hingga Julai tahun ini, berbanding 54 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata jumlah tangkapan bagi tempoh sama juga menunjukkan peningkatan ketara, iaitu 121 individu berbanding 57 individu pada 2025.

Beliau berkata tangkapan itu termasuk 42 warga asing yang dikesan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah melalui pintu masuk utama negara itu.

“Keutamaan JSJN dalam memutuskan rantaian bekalan dadah turut membuahkan hasil apabila kes di bawah kategori bekalan atau pengedaran meningkat daripada 18 kes pada 2025 kepada 47 kes bagi tempoh sama tahun ini.

“Jumlah tangkapan pengedar turut meningkat hampir tiga kali ganda, daripada 21 orang kepada 59 orang,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi JSJN hari ini.

Hussein berkata tindakan risikan dan pemantauan ketat berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk serta keluar dadah dalam kuantiti berskala besar melibatkan berat keseluruhan 1.35 tan (1,353.41 kilogram - kg) setakat tahun ini, berbanding 235.36 kg pada tahun lepas.

Berhubung nilai rampasan dadah, beliau berkata nilai keseluruhan setakat tahun ini dianggarkan berjumlah RM108.35 juta, melonjak daripada RM18.46 juta yang direkodkan pada tahun lepas.

Selain itu, beliau berkata JSJN mengesan perubahan modus operandi sindiket yang kini cenderung membawa masuk dadah jenis bunga ganja dengan rampasan sebanyak 1.25 tan (1,251.18 kg) tahun ini berbanding 82.98 kg pada 2025.

“Rampasan ketamin juga menunjukkan peningkatan kepada 16.51 kg berbanding 2.15 kg pada tahun lepas,” katanya.

Hussein berkata selain kawalan di KLIA, hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) KLIA juga berjaya melumpuhkan rangkaian sindiket menerusi lima siri operasi di Sepang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan pada tahun ini.

“Operasi tersebut membawa kepada rampasan 367.83 kg bunga ganja bernilai RM29.43 juta termasuk rampasan terbesar membabitkan 153.68 kg di Mambau, Seremban serta empat serbuan di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang,” katanya.

Beliau berkata kejayaan itu hasil kerjasama strategik dan penguatkuasaan holistik antara JSJN dengan Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Perkongsian maklumat risikan yang pantas, pemantauan bersepadu dan kawalan keselamatan ketat oleh Polis Bantuan MAHB di pintu masuk utama negara menjadi tunjang utama dalam mematahkan taktik licik sindiket penyeludupan dadah,” katanya.

Hussein memberi amaran tegas PDRM tidak akan memberikan ruang kepada sindiket untuk menjadikan KLIA atau mana-mana pintu masuk negara sebagai transit kegiatan haram itu dan kerjasama dengan agensi penguatkuasaan sempadan akan terus diperkukuh bagi memburu dan melumpuhkan sindiket terlibat.

-- BERNAMA