Am 01/08/2026 10:33 AM

Niaga Hadapan MSM Dijangka Cenderung Menurun Minggu Depan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Niaga Hadapan MSM Dijangka Cenderung Menurun Minggu Depan

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan, dipengaruhi oleh kelemahan dalam pasaran tenaga.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata harga minyak mentah yang lebih rendah menjadikan diesel konvensional lebih murah, sekali gus mengurangkan kelebihan kos biodiesel, dihasilkan menggunakan minyak sawit.

“Akibatnya, permintaan terhadap minyak sawit sebagai bahan suapan biodiesel mungkin akan berkurangan, sekali gus memberi tekanan kepada harga MSM,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Ng berkata tekanan penurunan harga itu dijangka terhad disebabkan prestasi eksport yang kukuh baru-baru ini.

“Kami menjangkakan harga diniagakan antara RM4,580 dan RM4,750 setiap tan minggu depan, katanya.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, kontrak Ogos 2026 susut RM60 kepada RM4,531 satu tan metrik, manakala kontrak September 2026 merosot RM73 kepada RM4,604 setan, dan kontrak Oktober 2026 berkurangan RM79 kepada RM4,643 satu tan.

Kontra November 2026 menguncup RM78 kepada RM4,675 setan metrik, Disember 2026 turun RM75 kepada RM4,704 satu tan, manakala Januari 2027 susut RM68 kepada RM4,732 setan.

Jumlah dagangan mingguan merosot kepada 363,441 lot daripada 503,066 lot pada minggu lepas, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 391,947 kontrak daripada 306,540 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Ogos Selatan berkurangan RM80 kepada RM4,530 setan,

-- BERNAMA