Ekonomi 01/08/2026 10:27 AM

PKMM Seru Kerajaan Percepat Pelaksanaan Projek Pembinaan 2026 Yang Dirancang

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
PKMM Seru Kerajaan Percepat Pelaksanaan Projek Pembinaan 2026 Yang Dirancang

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) menyeru agar kerajaan mempercepat pelaksanaan projek-projek pembinaan yang telah dirancang bagi 2026 untuk memastikan kelangsungan operasi kontraktor tempatan serta merancakkan semula sektor pembinaan negara.

Presidennya Datuk Mohd Rosdi Ab. Aziz berkata hala tuju sektor pembinaan ketika ini masih belum jelas, sekali gus menyebabkan ramai kontraktor berada dalam keadaan menunggu, khususnya susulan kekurangan projek baharu.

Kerajaan perlu memanfaatkan separuh kedua 2026 untuk mempercepat pelaksanaan projek-projek yang telah diumumkan agar industri pembinaan kembali berkembang dan memberi limpahan ekonomi kepada pemain industri.

"Kita mengharapkan pada separuh kedua tahun 2026, kerajaan dapat lebih merancakkan sektor pembinaan, terutama projek-projek yang telah dirancang supaya dapat dilaksanakan segera.

"Sebahagian besar kontraktor ketika ini ibarat sedang melalui tempoh 'bercuti panjang' kerana kekurangan projek, dan keadaan ini dibimbangi menjejaskan keupayaan mereka untuk meneruskan operasi perniagaan," katanya kepada Bernama.

Situasi itu lebih membebankan kontraktor dalam gred tinggi seperti G6 dan G7 yang masih perlu menanggung kos operasi tetap termasuk mengekalkan tenaga kerja mahir serta memenuhi syarat pelesenan, walaupun tidak mempunyai projek yang sedang dilaksanakan.

Katanya, kegagalan mengekalkan momentum pelaksanaan projek bukan sahaja memberi tekanan kepada aliran tunai kontraktor, malah boleh menjejaskan kapasiti industri pembinaan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi negara pada masa depan.

Beliau berkata terdapat kira-kira 138,000 kontraktor berdaftar di seluruh negara, manakala kontraktor Bumiputera dianggarkan berjumlah sekitar 70,000.

Daripada jumlah itu, hampir 60,000 kontraktor Bumiputera pernah berdaftar sebagai ahli PKMM, namun hanya sebahagian kecil yang masih aktif ketika ini berikutan keadaan pasaran yang mencabar.

Sementara itu, beliau mengesyorkan kerajaan untuk mengaktifkan semula Syarat Perubahan Harga (VOP) bahan binaan bagi membantu kontraktor yang kini berdepan tekanan kenaikan kos susulan krisis tenaga global.

Katanya, PKMM telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) untuk pertimbangan.

“VOP ini memberi kelebihan kepada dua-dua pihak, pemilik, kerajaan dan kontraktor kerana ketika harga barangan memuncak naik, kerajaan akan menambah harga, manakala ketika harga barangan turun, kerajaan akan memotong harga kontrak kepada kontraktor dan itu adil,” tambahnya.

-- BERNAMA