Am 01/08/2026 10:24 AM

Bursa Malaysia Dijangka Meningkat, Dipacu Untung Korporat, Aliran Masuk Asing

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Bursa Malaysia Dijangka Meningkat, Dipacu Untung Korporat, Aliran Masuk Asing

Oleh Zufazlin Baharuddin dan Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia dijangka mencatat dagangan dengan  kecenderungan meningkat minggu depan, disokong keuntungan korporat yang berdaya tahan, aliran masuk dana asing semakin baik, dan keredaan kebimbangan mengenai perdagangan global.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka kekal pada trajektori meningkat secara beransur-ansur dan merekodkan dagangan dalam julat 1,710 hingga 1,740, disokong minat belian institusi dan pelabur asing yang berterusan.

"Memandangkan Ogos merupakan musim pelaporan keuntungan korporat, sentimen pasaran boleh bertambah baik jika syarikat merekodkan prestasi kewangan yang mengatasi jangkaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata bagaimanapun, pelabur akan terus memantau perkembangan berkaitan dasar monetari AS, risiko geopolitik dan pergerakan harga komoditi yang boleh mempengaruhi hala tuju pasaran.

Dalam pada itu, beberapa petunjuk utama ekonomi AS dijadual dikeluarkan minggu depan, termasuk Indeks Pengurus Pembelian Perkhidmatan oleh Institut Pengurusan Bekalan (ISM), laporan bulanan Tinjauan Tawaran Pekerjaan dan Pergerakan Tenaga Kerja (JOLTS), Penggajian Bukan Perladangan (NFP) dan kadar pengangguran, yang semuanya dijangka mempengaruhi sentimen pasaran.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 23.88 mata kepada 1,724.90 daripada 1,701.02 yang dicatatkan minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 melonjak 244.96 mata kepada 18,135.79; Indeks FBM ACE naik 47.81 mata kepada 4,974.68; Indeks FBM Emas menambah 162.25 mata kepada 12,751.79; Indeks FBMT 100 meningkat 173.15 mata kepada 12,585.11 manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 152.04 mata kepada 12,596.29.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 270.53 mata kepada 20,327.11; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.88 mata kepada 188.74; Indeks Perladangan turun 12.41 mata kepada 9,288.57 dan Indeks Tenaga berkurangan 8.11 mata kepada 765.72.

Jumlah dagangan mingguan sebanyak 14.36 bilion unit bernilai RM13.12 bilion berbanding 16.43 bilion unit bernilai RM12.09 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menurun kepada 7.06 bilion unit bernilai RM11.63 bilion berbanding 9.01 bilion unit bernilai RM10.72 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran meningkat sedikit kepada 4.95 bilion unit bernilai RM650.82 juta daripada 4.94 bilion unit bernilai RM621.21 juta minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula mengecil kepada 2.30 bilion unit bernilai RM832.72 juta daripada 2.44 bilion unit bernilai RM741.42 juta.

-- BERNAMA