Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif dijangka diniagakan dalam jajaran terhad di antara US$4,050 dan US$4,100 setiap auns troy dengan kecenderungan meningkat.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sentimen pasaran seperti berpandukan kepada penerbitan beberapa siri data utama ekonomi Amerika Syarikat (AS) serta implikasinya kepada prospek kadar faedah Rizab Persekutuan AS (Fed).
"Beberapa minggu ini akan menyaksikani penggunaan data yang tinggi di AS dengan beberapa petunjuk utama dalam aktiviti perniagaan dan pasaran buruh dijadualkan untuk diterbitkan," katanya kepada Bernama.
Secara perbandingan minggu ke minggu, kontrak bulan semerta Julai 2026 berkurang kepada US$4,052.20 setiap auns troy pada Jumaat daripada US$4,054.50 setiap auns troy minggu lepas dan kontrak Ogos 2026 menyusut kepada US$4,067.90 setiap auns troy daripada US$4,074.20 setiap auns troy.
Kontrak September 2026 merosot kepada US$4,080.00 setiap auns troy daripada US$4,087.00 setiap auns troy manakala kontrak Oktober dan Disember 2026 masing-masing turun kepada US$4,110.50 setiap auns troy daripada US$4,117.50 pada minggu lepas.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 776 lot daripada 626 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 359 kontrak daripada 210 kontrak.
Emas fizikal ditetapkan pada harga US$4,111.05 setiap auns troy mengikut penetapan harga London Bullion Market Association pada 30 Julai, 2026.
-- BERNAMA