Oleh Noor Bakhtiar Ahmad
KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Zimbabwe dan Malaysia sedang merundingkan satu memorandum persefahaman (MoU) bagi memperdalam kerjasama dalam bidang media dan penyiaran, kata Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Publisiti dan Penyiaran Zimbabwe, Nick Mangwana.
MoU yang dicadangkan antara Kementerian Komunikasi Malaysia dan Kementerian Penerangan, Publisiti dan Penyiaran Zimbabwe itu bakal memperkukuh kerjasama antara institusi media dan wartawan, sekali gus meluaskan hubungan dua hala melangkaui peringkat kerajaan ke kerajaan (G2G) kepada peringkat institusi ke institusi dan rakyat ke rakyat.
"Kami mahu memperluaskannya ke peringkat bawah iaitu sesama individu, rakyat ke rakyat, serta institusi ke institusi," katanya dalam satu temu bual pada program “The Nation Diplomatic Dispatch” terbitan Bernama TV bertajuk “Zimbabwe's Vision for Modern Broadcasting” yang disiarkan pada Jumaat.
Mangwana berkata rangka kerja yang dicadangkan itu juga akan membuka peluang baharu dalam mempromosikan sektor pelancongan, pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara.
"Hubungan ini, apabila diwujudkan atau dirangkakan dalam MoU, kemudiannya akan diterjemahkan kepada peringkat institusi dan seterusnya wartawan dengan wartawan. Wartawan seterusnya akan membantu meningkatkan sektor pelancongan, pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara," katanya.
Selain memperkukuh hubungan dua hala, Mangwana berkata kerjasama media turut memainkan peranan penting dalam menyampaikan gambaran yang lebih tepat mengenai Zimbabwe dan benua Afrika kepada khalayak di Malaysia.
Beliau berkata Zimbabwe tidak sepatutnya dilihat hanya menerusi stereotaip umum mengenai Afrika, kerana setiap negara di benua itu mempunyai identiti, kekuatan dan keadaan yang tersendiri.
"Zimbabwe bukanlah mewakili keseluruhan Afrika. Kita perlu menceritakan kepelbagaian itu. Kami kena tunjukkan bahawa Afrika bukanlah sebuah negara yang besar dan stereotaip yang digunakan untuk menggambarkan masyarakat Afrika adalah tidak sama," katanya.
Mangwana berkata organisasi media yang dipercayai seperti Bernama boleh membantu memperkenalkan Zimbabwe secara terus kepada khalayak Malaysia, sekali gus menggalakkan lebih banyak pertukaran pelancongan dan hubungan antara rakyat.
Beliau berkata pelabur dan syarikat Malaysia sudah pun bertapak di Zimbabwe, manakala ramai rakyat negara itu telah melanjutkan pengajian tinggi di Malaysia sejak bertahun-tahun.
"Kami mahu melihat lebih ramai pelancong Malaysia datang ke Zimbabwe, dan sudah tentu pelancong Zimbabwe ke Malaysia. Begitu juga kita mahu melihat kehadiran pelajar Malaysia di Zimbabwe," katanya.
Melihat melangkaui kerjasama dua hala, Mangwana berkata Zimbabwe sedang bersiap sedia untuk memainkan peranan lebih besar di peringkat antarabangsa apabila bakal menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 2027.
"Kami mewakili rantau kami terlebih dahulu, dan keduanya mewakili negara-negara Selatan Global. Kami akan menjadi suara kepada Selatan Global," katanya.
-- BERNAMA