Am 31/07/2026 06:41 PM

KKM Percepat Pembinaan Klinik Kesihatan Baharu Di Rantau - Dzulkefly

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
KKM Percepat Pembinaan Klinik Kesihatan Baharu Di Rantau - Dzulkefly
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

SEREMBAN, 31 Julai (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempercepat pembinaan Klinik Kesihatan (KK) Rantau Jenis 3 baharu bagi menggantikan fasiliti sedia ada yang telah berusia 64 tahun dan kini beroperasi melebihi kapasiti.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata KK Rantau ketika ini menerima kira-kira 450 pesakit sehari, sekali gus berfungsi seperti sebuah klinik kesihatan Jenis 3 walaupun berstatus Jenis 4.

“Ia bukan sesuatu yang baru diluluskan. Projek ini telah diluluskan lebih awal dengan siling kos RM46.985 juta di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada 2024,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pembinaan KK Rantau di sini hari ini.

Beliau berkata Surat Setuju Terima (SST) telah diserahkan kepada kontraktor Rintiz Rezky (M) Sdn Bhd, semalam bagi membolehkan projek itu dimulakan.

Dzulkefly berkata kerja-kerja awalan termasuk kerja dan ujian tanah telah dilaksanakan, manakala pembinaan klinik itu dijangka siap pada 23 Julai 2029, namun kontraktor memberi komitmen menyiapkannya lebih awal dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Beliau berkata klinik baharu itu akan menyediakan perkhidmatan pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, kecemasan, pergigian, makmal, radiologi serta rehabilitasi.

“KK ini akan memberi perkhidmatan kepada kira-kira 75,000 penduduk di kawasan Rantau. Kita mengharapkan projek ini dapat disiapkan tanpa sebarang kelewatan,” katanya.

-- BERNAMA