Dunia 31/07/2026 10:01 PM

Timbalan Perdana Menteri Kemboja Prak Sokhonn Lawat Malaysia Untuk Mesyuarat JCBC

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Timbalan Perdana Menteri Kemboja Prak Sokhonn Lawat Malaysia Untuk Mesyuarat JCBC
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Prak Sokhonn Foto kredit : Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 31 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja Prak Sokhonn akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia minggu depan, yang dijangka menyuntik momentum baharu dalam perkongsian hubungan dua hala yang kukuh.

Sokhonn akan menghadiri Mesyuarat Suruhanjaya Bersama bagi Kerjasama Dua Hala (JCBC) Kemboja-Malaysia ketiga di Kuala Lumpur sepanjang lawatan dua hari bermula 3 Ogos, menurut kenyataan Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja pada Jumaat.

Mesyuarat itu bakal menyemak secara komprehensif kemajuan pelaksanaan minit yang dipersetujui pada JCBC kedua serta perjanjian dua hala yang telah dimeterai sebelum ini, kata kementerian itu.

"Mesyuarat itu seterusnya akan menggariskan langkah konkrit bagi memperdalam dan memperluas kerjasama dalam pelbagai sektor, sekali gus menyuntik momentum baharu dalam hubungan yang teguh dan pelbagai dimensi antara Kemboja dan Malaysia," katanya lagi.

Sokhonn dijadual mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA