Oleh Tan Su Chiat
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Barangkali Datuk Seri Phee Boon Poh boleh disifatkan sebagai individu yang paling sinonim dengan dasar tiada beg plastik sekali guna percuma yang mula dilancarkan 17 tahun lepas di Pulau Pinang.
Selaku pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebajikan dan Masyarakat Penyayang Pulau Pinang ketika itu, beliau menyelia pelaksanaan dasar inovatif berkenaan, yang kemudian diguna pakai di beberapa negeri lain sebelum dasar yang sama akhirnya diterima pakai di seluruh negara pada 2022.
“Pada masa itu, satu artikel Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengetengahkan tentang bahaya mikroplastik kepada alam sekitar, sesuatu yang kami rasakan amat penting.
“Jadi, sebagai pentadbiran negeri baharu, kami memutuskan bahawa Pulau Pinang akan menerajui dan melaksanakan dasar sedemikian,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Beliau berkata usaha ke arah itu telah bermula sebelum pelancaran rasmi pada 6 Julai 2009, memandangkan pihak berkaitan perlu mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan, khususnya pihak industri plastik yang pastinya akan terjejas dengan pelaksanaan dasar berkenaan.
"Kami perlu membuat mereka (industri plastik) memahami sebab di sebalik dasar itu, dan mahu mereka bersama kami dan bukan menentang," katanya sambil menambah bahawa pengeluar pada mulanya tidak berpuas hati dengan isu itu.
Phee berkata masalah utama ialah kebanyakan beg plastik sekali guna yang diberikan ketika di pasar raya digunakan untuk membuang sampah dan bukan tujuan pembungkusan.
Beliau juga terpaksa meredakan keraguan yang disuarakan oleh pasar raya dan pasar raya besar tentang kebimbangan kesan negatif dasar itu terhadap perniagaan mereka dengan menyatakan bahawa ia akan mengurangkan kos yang tidak perlu dengan mengurangkan beg plastik yang diberikan secara percuma kepada pembeli.
Isnin dijadikan sebagai hari pertama tanpa beg plastik percuma untuk meminimumkan kesannya dengan mengambil kira pembeli tidak ramai pada awal minggu.
Beliau berkata ketika itu pembeli yang tidak berpuas hati dengan dasar berkenaan telah menyuarakan kejengkelan mereka terutama ketika pasukan kami mengadakan lawatan ke pasar raya.
"Kami tetap perlu tersenyum dan berlapang dada menerima kritikan mereka sebagai tanda menghormati dan mendengar keluhan pengguna. Kemudian barulah kami menerangkan dasar itu serta sebab-sebabnya kepada mereka," katanya.
Phee berkata faktor utama yang membolehkan dasar itu dilaksanakan ialah penyediaan alternatif kepada pembeli kerana matlamatnya adalah untuk mengubah kebergantungan pengguna terhadap beg plastik itu.
"Sebagai alternatif, kami bermula dengan menyediakan beg kitar semula yang diperbuat daripada kain rentang.
“Pihak berkuasa tempatan mengumpulkan kain rentang yang tidak mematuhi peraturan … untuk dijadikan beg kitar semula yang diberikan secara percuma," katanya sambil menambah bahawa kemudian program untuk menghasilkan beg itu telah diwujudkan di Seberang Perai.
Beliau juga menggalakkan syarikat dan pasar raya menghasilkan beg kitar semula yang memaparkan jenama masing-masing sebagai bentuk pengiklanan.
Trend penggunaan beg kitar semula kini berkembang menjadi satu industri tempatan yang menawarkan pelbagai reka bentuk dan kualiti.
Meskipun terdapat cabaran pada awalnya, dasar itu telah diterima umum di Pulau Pinang dan diperluas ke seluruh negara, sekali gus mengubah tabiat pembeli dalam masa kurang daripada dua dekad.
Phee berkata dasar itu adalah sesuatu yang beliau ingin lakukan untuk faedah kepada masyarakat, dan alam sekitar.
“Saya amat berterima kasih kepada semua pihak berkepentingan dan menghargai usaha mereka kerana tanpa mereka, dasar itu tidak akan berjaya seperti hari ini,” katanya.
-- BERNAMA
Ini adalah artikel pertama daripada siri dua artikel mengenai dasar tiada pemberian beg plastik sekali guna secara percuma yang diperkenalkan pada 2009, serta impaknya terhadap landskap pengurusan sisa pepejal Malaysia.