Am 31/07/2026 08:58 AM

Speaker DUN Selangor Dijangka Buat Pengesahan Isu Status Seorang ADUN Isnin Ini - Amirudin

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Speaker DUN Selangor Dijangka Buat Pengesahan Isu Status Seorang ADUN Isnin Ini - Amirudin
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang

KUALA PILAH, 31 Julai (Bernama) – Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijangka membuat pengesahan berhubung dakwaan membabitkan status seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Isnin ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata perkara itu kini sedang diteliti bersama penasihat undang-undang negeri bagi menentukan tindakan yang perlu diambil sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita dapat sedikit maklumat tersebut. Saya sedang menyemak dengan penasihat undang-undang dan kemungkinan Speaker akan memaklumkan dalam sesi DUN kita pada 3 Ogos nanti.

“Kita ada sesi dewan sebab kita kena membuat verifikasi terhadap dakwaan-dakwaan tersebut ataupun ada dakwaan hilang kelayakan seorang ADUN di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Kuala Pilah Berselawat dan Munajat Perdana Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini malam tadi.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa Selangor mungkin berdepan pilihan raya kecil (PRK) susulan isu hilang kelayakan membabitkan status seorang ADUN yang didakwa boleh menyebabkan kekosongan kerusi.

-- BERNAMA