Dunia 31/07/2026 04:00 PM

China, AS Komited Perkukuh Komunikasi Ekonomi Dan Perdagangan

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
China, AS Komited Perkukuh Komunikasi Ekonomi Dan Perdagangan
Kredit: Kumpulan Media China (CMG)

BEIJING, 31 Julai (Bernama-CMG) -- Naib Perdana Menteri China He Lifeng, yang juga ketua wakil China bagi hal ehwal ekonomi dan perdagangan China-Amerika Syarikat (AS) mengadakan perbincangan dengan Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent dan Wakil Perdagangan AS Jamieson Greer  menerusi panggilan video pada Khamis.

Kedua-dua pihak bertukar pandangan secara terbuka, mendalam dan konstruktif mengenai pelaksanaan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara dalam pertemuan di Beijing.

Perbincangan turut tertumpu kepada usaha mengekalkan kestabilan hubungan ekonomi dan perdagangan, memperluas kerjasama pragmatik serta menangani perkara yang menjadi perhatian kedua-dua pihak secara wajar pada peringkat seterusnya.

China dan AS bersetuju untuk terus memanfaatkan mekanisme rundingan ekonomi dan perdagangan sedia ada bagi memperkukuh komunikasi, meningkatkan kepercayaan bersama serta menghapuskan keraguan, di samping memperkasa kerjasama antara satu sama lain. 

Kedua-dua pihak turut komited untuk menggerakkan hubungan ekonomi dan perdagangan ke arah yang lebih stabil dan positif, sekali gus menyumbang kepada pembangunan hubungan China-AS yang konstruktif serta berteraskan kestabilan strategik.

-- BERNAMA-CMG