Dunia 31/07/2026 08:12 AM

Iran Beri Amaran ‘Operasi Bendera Palsu’ Israel Selepas Serangan Dron Di Pelabuhan Damietta, Mesir

BERNAMA Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Kongsi:
Iran Beri Amaran ‘Operasi Bendera Palsu’ Israel Selepas Serangan Dron Di Pelabuhan Damietta, Mesir
--REUTERS

ISTANBUL, 31 Julai (Bernama-Anadolu) -- Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Khamis memberi amaran mengenai apa yang disifatkannya sebagai “operasi bendera palsu” Israel susulan serangan dron ke atas sebuah kapal gas di Pelabuhan Damietta, Mesir, lapor Anadolu Ajansi.

Araghchi menerusi hantaran di platform X menyifatkan Mesir sebagai sahabat dan rakan penting di rantau ini serta berkata: “Keselamatannya amat penting bagi kami.”

“Kita semua mesti berwaspada terhadap rancangan Israel dan operasi bendera palsu yang bertujuan menjejaskan keamanan serantau.

“Ancaman itu jelas, dikongsi bersama dan gentar terhadap perpaduan umat Islam,” kata beliau.

Kenyataan itu dibuat sehari selepas serangan dron menyebabkan dua kapal terbakar di Pelabuhan Damietta di pesisir Mediterranean, Mesir.

Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly pada awal Khamis berkata pihak berkuasa menemukan bangkai dron itu dan sedang menjalankan analisis keselamatan bagi mengenal pasti asal-usulnya.

Beliau menegaskan bahawa Kaherah akan membuat kesimpulan berdasarkan fakta, bukannya andaian.

Pihak berkuasa Mesir berkata siasatan awal menunjukkan kebakaran itu berpunca daripada sebuah dron, namun tiada pihak mengaku bertanggungjawab setakat ini. 

Siasatan masih diteruskan bagi menentukan situasi sebenar.

-- BERNAMA-ANADOLU