23/07/2026 07:22 PM

Guardian Lancar Kempen, Tingkat Kesedaran Perimenopaus Dalam Kalangan Wanita Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Peruncit kesihatan dan kecantikan, Guardian Malaysia melancarkan kempen advokasi Embracing Mildlife Wellness bagi membantu lebih ramai wanita mengenali tanda awal perimenopaus, iaitu satu fasa kehidupan yang sering disalah fahami meskipun boleh menjejaskan jutaan wanita di negara ini.

Menerusi kenyataan hari ini, Guardian Malaysia memaklumkan kira-kira 3.59 juta wanita Malaysia berusia antara 35 hingga 49 tahun, iaitu 22 peratus daripada jumlah populasi wanita negara dijangka mengalami perimenopaus dalam tempoh 10 tahun akan datang, sekali gus menjadikan isu berkenaan semakin penting dari sudut kesihatan awam.

Menurut Guardian Malaysia, sebahagian besar daripada golongan berkenaan berdepan cabaran kehidupan yang memberi kesan besar kepada kehidupan seharian mereka.

Bagi memahami isu tersebut, Guardian menjalankan sesi kajian kualitatif Listening Lab bersama wanita yang sedang melalui fasa perimenopaus and menopaus dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kajian berkenaan mendedahkan terdapat salah tanggapan yang meluas terhadap tanda-tanda perimenopaus khususnya dalam kalangan wanita yang sedang melalui fasa tersebut. Masalah seperti hot flushes atau rasa panas tiba-tiba sering dianggap berpunca daripada cuaca manakala jerawat dikaitkan dengan tekanan, migrain dipandang ringan dan perubahan emosi pula disalah tafsir sebagai kelemahan peribadi.

“Sokongan daripada individu terdekat juga masih kurang memadai, seperti yang dikongsikan oleh seorang peserta ‘Saya rasa masyarakat sekitar… secara umumnya, orang lelaki kat Malaysia ni kurang peka terhadap macam mana perimenopaus mempengaruhi kehidupan kami,” menurut kenyataan itu.

Pengarah Urusan Guardian Malaysia dan Brunei Priscilla Wu berkata kempen berkenaan diperkenalkan bagi menangani kekurangan kesedaran mengenai perimenopaus khususnya dalam kalangan wanita berusia akhir 30-an dan 40-an, yang ramai mengalami simptom tanpa menyedari punca sebenar di sebaliknya.

"Ramai wanita Malaysia yang berada dalam lingkungan akhir 30-an dan 40-an sedang berdepan pelbagai tanda yang seolah-olah tidak berpunca. Keadaan ini perlu berubah,” katanya.

Bagi meningkatkan kesedaran dan menggalakan lebih banyak perbincangan mengenai perimenopaus, Guardian telah menganjurkan forum panel khas yang menampilkan Pakar Ginekologi, Menopaus dan Kesihatan Wanita di Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Premitha Damodaran, jurulatih kesejahteraan dan guru pilates Nadhrah Maidin serta pakar psikologi neuro-kaunseling dan pengasas 360 Wellness Hub Dr Lennie Soo.

Dikendalikan oleh personaliti televisyen, Daphne Iking, sesi perbincangan berkenaan menumpukan kepada keperluan fizikal, mental dan emosi wanita yang sedang melalui fasa perimenopaus, di samping menggalakkan wanita mendapatkan nasihat dan sokongan profesional pada peringkat awal.

Dr Premitha berkata mengenal pasti lebih awal terhadap perubahan hormon boleh membantu memastikan tindakan sewajarnya diambil dengan lebih cepat serta membantu meningkatkan kualiti hidup wanita.

“Terlalu ramai wanita menghabiskan masa berbulan-bulan malah bertahun-tahun, tertanya-tanya tentang perubahan yang berlaku pada diri mereka dan mencari jawapan tanpa menyedari bahawa perubahan hormon mungkin menjadi puncanya. 

“Pengenalpastian awal perimenopaus membolehkan sokongan diberikan lebih awal, penjagaan lebih baik disediakan dan seterusnya meningkatkan kualiti hidup. Tiada wanita yang sepatutnya melalui fasa ini bersendirian atau menanggungnya dalam diam,” katanya. 

Guardian turut melancarkan Perimenopause Hub menerusi laman web dan aplikasi mudah alih yang menyediakan kandungan pendidikan yang disokong oleh pakar manakala cawangannya kini menampilkan bahagian produk khusus serta khidmat konsultasi yang dikendalikan oleh ahli farmasi.

Selain itu, Guardian memperkenalkan pensijilan MTick® menerusi inisiatif GenM Collective bagi memudahkan pengguna mengenal pasti produk yang boleh membantu menangani satu atau lebih daripada 48 tanda menopaus yang dikenal pasti, termasuk dalam kategori vitamin, kesihatan tidur dan jantung, penjagaan kulit, penjagaan rambut dan pengurusan bau badan serta penjagaan wanita.

Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Guardian untuk mentransformasikan rangkaiannya daripada sekadar premis runcit berorientasikan transaksi kepada ruang sokongan kesihatan yang mudah diakses, dengan wanita boleh mendapatkan maklumat yang boleh dipercayai serta membuat keputusan sepanjang pelbagai peringkat kehidupan.

Guardian berhasrat memperkasakan lebih ramai wanita untuk melalui fasa pertengahan kehidupan dengan lebih yakin menerusi peningkatan kesedaran, nasihat kesihatan yang dipercayai serta akses yang lebih mudah kepada produk kesejahteraan yang bersesuaian.

-- BERNAMA