Pavilion REIT Catat Untung Bersih RM89.03 Juta, Hasil Sewaan Hotel Sokong Prestasi
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) mencatatkan prestasi kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2026, dengan untung bersih meningkat 13.2 peratus kepada RM89.03 juta berbanding RM78.66 juta dalam tempoh sama tahun lepas, disokong pertumbuhan hasil sewaan serta prestasi stabil aset hartanahnya.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Pavilion REIT memaklumkan hasil meningkat empat peratus kepada RM221.01 juta daripada RM213.34 juta sebelumnya, didorong terutamanya oleh sumbangan pendapatan sewaan daripada Banyan Tree Kuala Lumpur dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur, selain tahap penghunian yang kekal kukuh di Pavilion Bukit Jalil.
Pavilion REIT memaklumkan pemerolehan Banyan Tree Kuala Lumpur dan Pavilion Hotel Kuala Lumpur pada 20 Jun, 2025 telah menyumbang secara positif kepada peningkatan pendapatan kumpulan.
Dokumen pemfailan itu turut memaklumkan bahawa hasil sewaan Pavilion Kuala Lumpur Mall mencatat penurunan marginal berikutan proses penyusunan semula ruang runcit di Aras 3 yang masih dijalankan.
Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun, 2026, untung bersih Pavilion REIT meningkat kepada RM194.84 juta berbanding RM169.08 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat enam peratus kepada RM466.91 juta daripada RM441.51 juta.
Prestasi separuh pertama tahun kewangan 2026 itu turut dipacu oleh sumbangan dua hotel yang baru diperoleh serta kadar penghunian Pavilion Bukit Jalil yang kekal stabil.
Lembaga pengarah turut mengisytiharkan pengagihan pendapatan interim sebanyak 5.17 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026, terdiri daripada 4.97 sen seunit pendapatan bercukai dan 0.20 sen seunit pendapatan tidak bercukai.
Mengenai prospek, Pavilion REIT memaklumkan pihaknya akan terus memperkukuh daya tarikan aset menerusi pelbagai aktiviti berasaskan pengalaman dan kebudayaan bagi meningkatkan penglibatan pengunjung, selain menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Pihak pengurusan juga akan terus memberi tumpuan kepada kawalan kos berkaitan penyelenggaraan serta penambahbaikan aset bagi memastikan prestasi hartanah kekal mampan.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita terkini
- Tentera Laut Singapura Lancar Kapal Perang Generasi Baharu Kedua
- DUN Sabah Lulus RUU Naik Gaji Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kepada RM2,000
- Ayob Khan Bersara Ahad Ini Selepas 35 Tahun Berkhidmat Dalam PDRM
- NTIS MOSTI Dinobat Juara Global E-Science Di Geneva
- Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Sejajar Dengan COMEX